Dr M: Bush gemar bunuh orang
Eksklusif Presiden Amerika Syarikat George W Bush adalah seorang yang sangat teruk dan gemar membunuh orang begitulah kesimpulan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengenainya.
Eksklusif Presiden Amerika Syarikat George W Bush adalah seorang yang sangat teruk dan gemar membunuh orang begitulah kesimpulan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengenainya.
Dan kalau ada caranya, beliau mahu membicarakan Bush sebagai penjenayah perang terhadap kemanusiaan ekoran serangan tentera Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq.
Dalam satu temubual ekslusif dengan malaysiakini Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata Bush memang sepatutnya didakwa atas jenayah tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu juga menyuarakan kekesalannya kerana menyokong Bush yang dicabar oleh Al Gore dalam dalam pilihanraya presiden Amerika pada 2000.
"Al Gore memang menjijikkan, dia datang ke sini di depan saya dan memberitahu rakyat supaya menggulingkan saya. Macam mana saya nak sokong dia?" kata Dr Mahathir merujuk kepada ucapan Gore di Kuala Lumpur pada 1998 ketika sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
Ia diadakan dua bulan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sehingga mengakibatkan berlakunya demonstrasi gerakan reformasi di ibu negara.
"Tetapi (ketika itu) saya tidak tahu macam mana Bush. Saya tahu bapanya tetapi bukan anaknya...semuanya (ketika itu) nampak dia lebih baik daripada Gore.
"Ya, saya memang kesal tetapi (ketika itu) saya tidak tahu. Orang ini (Bush) sangat teruk dan gemar membunuh orang," katanya.
Temubual kedua
Dr Mahathir, yang berpakaian busjaket berserta tulisan berbunyi "Dalam mencari keamanan", kelihatan sudah pulih sepenuhnya daripada serangan sakit jantung ringan dua bulan lalu.
"Saya kini seorang 'vegetarian'. Tetapi saya perlu makan sikit daging untuk menambah tenaga. Doktor beritahu saya supaya jangan terlalu teruja. Jadi jangan buat saya teruja," katanya berseloroh.
Dr Mahathir berkata, beliau perlu menjaga kesihatan dirinya kerana jika berlaku serangan jantung lagi, ia mungkin lebih serius.
Beliau yang kelihatan relaks turut meminta maaf kerana tidak cukup kerusi untuk wartawan dan jurugambar malaysiakini yang hadir dan secara berseloroh berkata "Yang lainnya boleh duduk atas lantai..."
Dr Mahathir mahu temubual itu yang kedua dengan malaysiakini difokus berfokus kepada kempen menentang jenayah peperangan. Bagaimanapun, beliau turut menjawab soalan-soalan mengenai halehwal semasa apabila dikemukakannya kepadanya.
Tribunal perang
Beliau berkata, Yayasan Kepimpinan Perdana akan menyokong secara aktif mana-mana mangsa perang yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Bush.
Bagaimanapun, sebelum ini dilakukan, Dr Mahathir berharap dapat mendidik rakyat dunia mengenai jenayah perang terhadap orang yang berdosa oleh Amerika dan sekutunya.
Berikutan itu, yayasan tersebut telah menganjurkan persidangan tiga hari mengenai jenayah perang yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai hari ini.
Ia dihadiri ramai aktivitis anti-perang dan ahli panel penceramah yang terkemuka serta mangsa perang Iraq yang akan menceritakan pengalaman duka mereka kepada para hadirin.
Kemuncak persidangan tersebut ialah penubuhan Suruhanjaya Jenayah Perang dan sebuah tribunal untuk membicarakan penjenayah perang dan memastikan keadilan bagi masyarakat dunia.
Ditanya sama ada suruhanjaya dan tribunal itu mempunyai kredibiliti memandangkan anggotanya terdiri daripada penyokong anti-peperangan, Dr Mahathir tidak bersetuju.
"Tidak, mungkin tiada kredibiliti bagi sesetengah orang, tetapi berkredibiliti kepada orang lain. Kita membuat pemilihan dengan teliti. Mereka terdiri daripada hakim dan mereka akan membuat pengadilan berdasarkan kepada bukti. Ini bukan mahkamah kangaroo dan akan dibicarakan secara terbuka," katanya.
Mekanisme perbicaraan
Menurutnya, matlamat penubuhan suruhanjaya dan tribunal itu adalah untuk mengubah minda rakyat dan menganggap perang itu satu jenayah.
Menurut Dr Mahathir lagi, Bush mesti dihalang sebelum beliau mengambil keputusan untuk menyerangkan Iran.
"Dengan Bush, anda tidak boleh cakap, kerana orang ini, gemar membunuh. Ia mungkin menyerang Iran dan jika ia menyerang Iran, keadaannya akan menjadi bertambah buruk daripada pengalaman mereka di Iraq. Rakyat Iran mungkin tidak suka kerajaan mereka, tetapi jika anda menyerang negara mereka, mereka akan lawan," katanya.
Mahathir juga memberi pandangan bagaimana ekonomi diuruskan dan mempertahankan sesetengah keputusannya sewaktu 22 tahun menerajui Malaysia.
Bahagian kedua temubual dengan Dr Mahathir akan disiarkan Rabu ini. Berita asal
Q&A: Tribunal not a kangaroo court

