Saksi masih positif Covid-19, bicara kes Ahmad Zahid ditangguh lagi
Perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) hari ini ditangguhkan ke 10 Ogos kerana saksi pendakwaan terakhir masih positif Covid-19.
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob memberitahu hakim Mohd Yazid Mustafa, saksi terbabit - yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - dikuarantin sehingga 31 Julai.
“Jika diizinkan yang arif kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 10 hingga 12 Ogos depan,” katanya.
Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan 10 hingga 12 Ogos depan untuk menyambung perbicaraan.
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
- Bernama

