Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerjasama dengan Umno: 'Perlu menyeluruh, bukan di negeri tertentu saja'

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama antara parti itu dengan Umno dalam PRU15, jika dilaksanakan, perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya berkenaan tempoh masa yang diberikan kepada Umno untuk membuat keputusan berkaitan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Hingga setakat ini, kita tak letak 'time frame' tapi kalau pilihan raya itu bertambah hampir, kita tak boleh tunggu lama sangatlah.

"Cuma kerangkanya mesti menyeluruh, tak bolehlah di Pahang bersepakat, di Kelantan nak lawan, di Terengganu nak lawan.

"Kalau kita nak berpakat, kena seluruh negara. Kita kena tengok dalam kerangka besar dalam menghadapi pilihan raya ini," katanya dalam sidang media selepas program Himpunan Hijau 3.0 (H20K) anjuran Pas Pahang di Pantai Sepat, dekat Kuantan malam tadi.

Turut hadir dalam progam itu adalah naib presiden Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata jika Umno dan BN memilih untuk bergerak solo, PAS akan berdepan PRU15 bersama-sama Bersatu menerusi PN.

Ini kerana walaupun masih berharap Umno menilai semula pendiriannya, PAS sudah pun berdaftar dalam gabungan PN, katanya.

"Pas masih terbuka, kita melihat perlunya ketiga-tiga parti duduk bersama, tetapi kalau BN buat keputusan untuk (bergerak) solo, kita akan 'pergi' dengan parti Bersatu dalam Perikatan Nasional," katanya sambil menekankan keperluan ketiga-tiga parti untuk bersama-sama demi "penyatuan ummah".

Di peringkat negeri Pahang, Tuan Ibrahim berkata tiada masalah antara Umno dan PAS walau mengakui belum ada perbincangan rasmi dalam menentukan formula pembahagian kerusi Parlimen dan DUN.

"Tidak ada (perbincangan), soal kerusi belum dibincang, cuma hubungan kita dengan kerajaan negeri melalui Adun kita, mereka pun menyokong pindaan untuk menambah lima Adun lantikan.

"Begitu juga dengan calon di Pahang, Pas belum memutuskan untuk bertanding di semua kerusi Dun dan Parlimen, (semuanya) bergantung kepada perbincangan berikutnya, kita akan buat keputusan selepas ini," katanya.

PAS ketika ini mempunyai lapan Adun di Pahang.

Lihat Komen
ADS