KDN: Polis siasat pihak buat hasutan tanpa kira kedudukan
PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa polis akan menyiasat sesiapa sahaja yang melakukan hasutan tanpa mengira kedudukan mereka.
Ini adalah sebagai jawapan kepada pertanyaan sama ada kenyataan yang memberi gambaran bahawa sebuah negeri akan berpisah daripada Malaysia adalah satu kesalahan.
“KDN melalui penguatkuasaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam mendukung hak kebebasan bersuara, selagi mana ia mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
"Walau bagaimanapun, PDRM akan mengambil tindakan tegas dengan melakukan tangkapan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, yang melakukan kesalahan menghasut atau menyebabkan kegentaran awam berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kementerian it dalam jawapan bertulis pada Khamis, kepada soalan Azis Jamman (Warisan-Sepanggar).
Azis mempersoalkan sama ada membuat kenyataan yang kelihatan menghasut sesebuah negeri atau wilayah di negara ini untuk berpisah daripada Malaysia adalah satu kesalahan jenayah atau melanggar mana-mana undang-undang, tanpa mengira pihak yang menyatakannya.
Kementerian, dalam jawapannya, tidak menyatakan sama ada ini satu kesalahan.
Seruan untuk sesebuah negeri berpisah dari Malaysia adalah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Polis telah menyoal Azis tahun lepas, selepas dia berkata di Dewan Rakyat bahawa terdapat gesaan yang semakin meningkat di Sabah supaya ia berpisah kerana peruntukan yang tidak adil di bawah belanjawan negara.
Ahli parlimen mempunyai kekebalan undang-undang untuk bersuara secara bebas di Dewan Rakyat, tetapi ini tidak terpakai kepada kes melibatkan Akta Hasutan.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lepas memberi amaran "“jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia” selepas menyifatkan negeri itu seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan persekutuan soal peruntukan.

