Kerajaan dan kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd telah menyelesaikan tindakan undang-undang berhubung penamatan kontrak projek rel Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Peguam kanan persekutuan Asliza Ali, yang mewakili kerajaan, memaklumkan kepada mahkamah persekutuan pagi ini bahawa kerajaan telah menarik balik rayuannya berkaitan kes itu.

"Kami telah memfailkan notis penamatan berhubung perkara (rayuan) itu, dan responden (Dhaya Maju) tidak mempunyai bantahan agar ia ditamatkan," kata Asliza kepada tiga orang hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh hakim Vernon Ong Lam Kiat.

Dengan persetujuan sebulat suara panel hakim Abdul Rahman Sebli dan Mary Lim Thiam Suan, Ong kemudiannya mengarahkan rayuan kerajaan dibatalkan tanpa perintah mengenai kos.

Ketika dihubungi, Asliza mengesahkan penarikan balik dilakukan memandangkan kerajaan dan kontraktor tersebut telah menyelesaikan tindakan undang-undang utama.

Pada 29 Jun lalu, dilaporkan bahawa pasukan peguam bagi kedua-dua pihak memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa mereka hampir menyelesaikan kes saman sivil itu.

Semakan kehakiman difailkan Dhaya Maju pada 3 Sept 2020 bagi membatalkan keputusan kerajaan untuk membatalkan kontrak projek KVDT2 dan membuka semula tender berkaitan projek berkenaan.

Pada Ogos 2020, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mengumumkan bahawa kerajaan akan membuka semula tender untuk projek KVDT2, dengan mendakwa siasatan mendapati nilai perolehan RM4.475 bilion untuk projek itu terlalu tinggi, walaupun langkah penjimatan kos telah dibuat sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Projek itu mendapat perhatian selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan butiran 101 kontrak yang dikatakan dianugerahkan menerusi proses rundingan terus semasa PH berkuasa.

[Baca berita asal]