Nazri Abdul Aziz (BN- Padang Rengas) meminta kerajaan melihat cara pengendalian kemasukan pekerja asing yang dipercayai menjadi penyebab utama Malaysia berada di tahap 3 dalam Laporan Amerika Syarikat berhubung Pemerdagangan Manusia 2022.

Nazri yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan berkata kerajaan harus melihat punca sebenar yang menyebabkan negara kekal di kedudukan tersebut.

Dia berkata demikian selepas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memberi penerangan berkenaan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2022 di Dewan Rakyat.

Menurut Nazri, PSC sebelum ini mendapati cara kemasukan pekerja asing ke negara ini menjadi penyumbang terbesar mengapa Malaysia berada di kedudukan Tahap 3 seperti hari ini.

“Sistem memasukkan pekerja ni merupakan satu daripada perkara yang sangat besar, yang menyumbang kepada soal antipemerdagangan ini.

“Saya nak minta yang berhormat sila lihat kepada cara kita bawa masuk pekerja ke negara ini yang bawa penyumbang besar, yang membuatkan hari ini kita masuk ke ‘Tier 3’ ni,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam Laporan Pemerdagangan Orang pada Julai 2022, Malaysia kekal di peringkat terendah, untuk dua tahun berturut-turut.

Negara yang merupakan ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, turut berkongsi kedudukan dengan 10 negara lain di dunia, termasuk China dan Myanmar.

Laporan Julai 2022 itu menyatakan bahawa: “Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang dan tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian.”

Bukti rasuah berleluasa

Sementara itu, Mujahid Yusof Rawa (PH- Parit Buntar) merujuk kepada isu penguatkuasaan lemah dalam negara, yang dibuktikan dalam laporan berkenaan.

Sambil menyifatkan pegawai-pegawai yang mengendalikan isu tersebut sebagai korup, pemimpin Amanah itu berkata ia menyebabkan negara berdepan dengan kesukaran dalam

menyelesaikan masalah yang disebutkan dalam laporan tersebut dan menjurus kepada perbincangan yang tanpa kesudahan.

“Kegagalan kita dengan apa yang dibuktikan dalam laporan ini sebenarnya terletak kepada isu penguatkuasaan yang berkesan dan mungkin juga dalam report ini kita boleh

buat satu andaian yang cukup bahawa semua ini berlaku di atas sebab korupsi ataupun rasuah yang berleluasa, sehingga ia menjadi sistemik dalam usaha-usaha kita untuk menyelesaikan masalah.

“Marilah berlaku adil pada diri kita sendiri dan cakao saja kita memiliki pegawai korup.

When we have corrupt officials, kita akan datang ke sini berbincang lagi, berbincang lagi tetapi akhirnya yang menjadi masalah rantaian ini ialah kita gagal untuk mendakwa mereka yang rasuah dan terlibat dalam human trafficking,” katanya yang meminta kerajaan supaya bertegas dalam hal ini.

Mujahid turut bertanya kepada KDN berapa ramai daripada kalangan pegawai yang tidak didakwa kerana ini akan membawa persepsi negatif bahawa pelaku telah dilindungi.

“Siapa pelindung mereka?” soalnya.