Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC dakwa DBKL lantik ahli politik muflis sebagai ahli lembaga

Seorang pemimpin MIC hari ini menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjelaskan dakwaan pelantikan seorang invidivu muflis sebagai ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan D Pala Kumaran mendakwa individu tersebut turut memegang jawatan ketua bahagian sayap bersekutu parti Bersatu.

"Carian kami di Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati individu berusia 46 tahun itu, telah diisytiharkan bankrap pada 7 Januari 2021.

"Tapi, dia telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Oktober 2021.

"Maka, kami minta DBKL untuk memberikan penjelasan atas pelantikan ini. Bagaimana, seorang individu telah diisytihar bankrap boleh dilantik sebagai ahli lembaga," katanya.

Carian Malaysiakini pada 1 Ogos 2022 di Jabatan Insolvensi menunjukkan status individu tersebut masih bankrap.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan Khairul Anuar Mhd Juri berkata bahawa DBKL mengambil maklum perkara tersebut.

"Kita semak dulu perkara ini. Ada proses tertentu," katanya ringkas.

Dakwa guna dokumen palsu

Sementara itu, Pala Kumaran yang juga Ketua Bahagian MIC Batu berkata bahawa pihaknya juga bercadang untuk membuat laporan polis terhadap individu tersebut.

"Kami percaya, dia telah menyerahkan dokumen palsu dan menipu untuk dilantik sebagai ahli lembaga.

"Kami mungkin akan buat laporan polis untuk membuat siasatan," dakwanya.

Malaysiakini telah menghubungi individu tersebut dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin bagaimanapun masih menunggu maklum balas lanjut mengenai dakwaan ini.

Lihat Komen
ADS