PARLIMEN | Tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi diperlukan sebelum kerajaan membuat keputusan sama ada membenarkan pembinaan Lapangan Terbang Tioman atau sebaliknya, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Wee (BN - Ayer Hitam) berkata selain perlu mendapat kelulusan daripada pelbagai agensi kerajaan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan sama ada projek itu berdaya saing atau tidak di bawah Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP).

Wee berkata NASP dimulakan pada Mac dan akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.

Katanya, selain membuat penelitian terhadap 42 lapangan terbang di seluruh negara ketika ini, kajian itu juga akan meneliti cadangan untuk membina lapangan terbang baru.

"Kajian ini antara lainnya akan turut meneliti sama ada cadangan projek tersebut berdaya saing atau tidak.

"Perkara ini sedang dalam penelitian pihak Jabatan Alam Sekitar.

"Oleh demikian, kelulusan akhir bagi cadangan Lapangan Terbang Tioman yang baru hanya akan dipertimbangan apabila kajian MASP dan pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti mana yang dilaporkan dalam laporan-laporan teknikal tersebut,” jelasnya.

Wee berkata meskipun Majlis Perancang Fizikal Negara pada 27 Okt 2020 pada dasarnya bersetuju agar projek itu diteruskan, namun ia bergantung kepada keputusan Kementerian Pengangkutan untuk mengeluarkan Lesen Pengendali Aerodrome (AOL).

Dia berkata pencadang projek itu masih perlu menyiapkan 10 laporan teknikal sebelum AOL boleh dipertimbangkan.

Pada Jun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa pihak berkuasa perlu menetapkan semula sempadan Taman Laut Tioman sekiranya projek lapangan terbang itu diteruskan.

Pemaju projek itu dikaitkan dengan konglomerat Berjaya Group dan kerabat diraja Pahang.

Aktivis berpendapat selain menjejaskan alam sekitar, infrastruktur sedia ada di Pulau Tioman bagi kemudahan bekalan elektrik, air dan kumbahan sudah berada pada tahap kapasiti terutama ketika waktu puncak.

Menurut mereka peningkatan ketibaan pelancong memerlukan lebih banyak kemudahan infrastruktur dibina di pulau berkenaan.

Sebilangan penduduk tempatan dan aktivis berpendapat pembinaan lapangan terbang di tanah besar lebih berdaya maju, yang bukan hanya sekadar memenuhi keperluan pelancongan.