Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah jumpa PM esok
Diterbitkan:  Aug 3, 2022 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Isu perjanjian antara Bersatu dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dijangka akan dibangkitkan dalam pertemuan bakal berlangsung esok.

Pertemuan itu disahkan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin seperti dilaporkan Sinar Harian.

“Insya-Allah saya akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri, esok hari,” katanya pada sidang media di Akademi MAB di Petaling Jaya, hari ini.

Hamzah berkata demikian selepas merasmikan persidangan sempena sambutan Hari Dunia Menentang Pemerdagangan Orang.

Pada 28 Julai lalu, Hamzah selaku setiausaha agung PN berkata gabungan itu berpendapat Ismail tidak bersungguh untuk memenuhi terma-terma penting dalam perjanjian di antara gabungan itu dengan perdana menteri.

Antara terma penting yang terkandung dalam perjanjian itu ialah jawatan timbalan perdana menteri.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu.

"Mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan perdana menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan (PN).

"Sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui perdana menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat," kata Hamzah.

Untuk rekod Muhyiddin sebelum ini mendedahkan telah wujud persefahaman di antara PN dan Ismail berhubung jawatan dalam kabinet, termasuk kedudukan timbalan perdana menteri.

"Kita tidak minta lebih daripada itu, termasuk soal pelantikan menteri baru, timbalan perdana menteri, termasuk lantikan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), badan-badan berkanun dan peruntukan-peruntukan kerajaan," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS