Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Campak anak dari jejambat: Balu bergantung ihsan aktivis, rakan

Kini ditinggalkan sendirian untuk menjaga anak lelakinya yang berusia empat tahun, warga Myanmar, Aye Aye, bergantung kepada rakan pelarian etnik Chin yang lain untuk mengharungi tragedi yang menimpa keluarganya.

Diiringi rakan karib dan anggota Alliance of Chin Refugees (ACR), Aye hadir di Institut Forensik Perubatan Negara Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mengenal pasti mayat suami dan dua anaknya.

Suaminya, yang juga pelarian, 38 tahun, dilaporkan telah mencampak tiga anak mereka dari jejambat di Kepong sebelum terjun hingga mati, semalam.

Pada mulanya kelihatan tenang, Aye mengambil masa kurang lima minit di dalam bilik bedah siasat untuk mengenal pasti mayat sebelum dia keluar, dibantu rakannya, kelihata menangis teresak-esak.

Ditemui kemudian, aktivis ACR Ai John memberitahu Malaysiakini bahawa persiapan sedang dibuat oleh kumpulan itu untuk menuntut mayat dan mengumpul dana untuk pengebumian yang akan diadakan esok.

"Kami menemui penaja untuk RM7,000 dan kami cuba mendapatkan RM2,000 lagi," katanya.

John juga berkata Aye terpaksa meninggalkan anak bongsunya seorang diri di Hospital Selayang.

Anak bongsunya itu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi kerana kecederaan, termasuk patah kaki, yang dialami dalam kejadian 5.15 pagi di lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

"Dia akan kembali ke Hospital Selayang selepas kami selesai di sini," tambahnya.

Sebelum ini, John memberitahu Malaysiakini bahawa suami Aye mengalami banyak tekanan kerana ketidakupayaannya untuk mencari pekerjaan dan kegagalan mendapatkan dokumen pengenalan diri daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk anak bongsunya.

Lelaki itu juga dikatakan menunjukkan tanda-tanda kemurungan sejak tahun lalu.

Faktor bunuh diri adalah kompleks dan tidak boleh selalu dikaitkan dengan masalah kesihatan mental atau isu lain yang dihadapi oleh si mati.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam tetapi berkata ia boleh dicegah dengan campur tangan awal.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, UNHCR berkata wakilnya di sini telah menghubungi komuniti pelarian untuk membantu Aye membuat penilaian awal mengenai perlindungan dan keperluan keluarganya selanjutnya.

“Kami telah dimaklumkan oleh komuniti itu bahawa keluarga itu difahamkan berada dalam kesedihan yang mendalam selepas insiden tragis dan traumatik itu, dan pada masa yang sesuai, UNHCR akan menghubungi untuk menawarkan sokongan psikososial untuk membantu mereka melalui pengalaman pahit ini.

"Selain itu, UNHCR telah menghubungi pegawai penguatkuasa undang-undang untuk menawarkan kerjasama kami di mana sesuai dan mengikut keperluan," tambahnya.

'Cuba pindah keluar'

Bercakap melalui penterjemah, Aye mendedahkan bahawa keluarganya - selepas kira-kira 10 tahun di Malaysia - masih tidak mempunyai rancangan penempatan semula yang jelas.

Bagaimanapun, dia akan mempertimbangkan untuk keluar dari bilik sewanya yang dia berkongsi dengan sekurang-kurangnya dua keluarga pelarian lain.

Seorang lagi aktivis ACR, yang memperkenalkan diri sebagai Steven berkata Aye akan trauma untuk terus tinggal di rumahnya dengan kenangan berterusan tentang mendiang suami dan anak-anaknya.

Ditanya mengenai bantuan yang ada untuk pelarian yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, Steven menyorot bahawa bantuan terhad oleh UNHCR dan organisasi akar umbi.

Sementara itu, bekas pengerusi ACR James Jawi Thang Bik dan pengasas kumpulan hak warga asing Beyond Borders Mahi Ramakrishnan berkata bahawa isu kesihatan mental yang menyumbang kepada bilangan kes bunuh diri dalam komuniti pelarian di Malaysia sebahagian besarnya tidak dapat dikesan tanpa kebebasan bergerak dan tidak mengiktiraf status mereka di sini.

“Kehilangan pekerjaan, ketidakupayaan untuk menyara keluarga atau membayar sewa dan kekurangan laluan selamat untuk mendapatkan suaka adalah antara sebab pelarian terpaksa membunuh diri.

“Bukan sahaja mereka tidak mempunyai hak untuk bekerja tetapi juga tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki dan pendidikan berstruktur untuk anak-anak mereka.

"Kami tidak mempunyai cara untuk mengukur kelaziman isu kesihatan mental di kalangan penduduk pelarian, yang terpaksa hidup di bawah radar kerana kerajaan terus tidak mengiktiraf hak mereka untuk mendapatkan suaka kerana ia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian PBB 1951," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Terdapat gesaan baru untuk pelarian dibenarkan bekerja secara sah di Malaysia, terutamanya berikutan kekurangan buruh warga asing yang berterusan dalam sektor kritikal.

Bulan lalu, kumpulan hak pelarian dan peguam hak asasi manusia menolak penerimaan pakai Sistem Maklumat Pelarian (TRIS) yang diluluskan kerajaan untuk semua pemegang kad UNHCR.

Ini susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bahawa pemegang kad UNHCR mesti mendaftar dengan TRIS untuk mengenal pasti lokasi mereka di Malaysia, serta butiran peribadi lain.

Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan sedemikian, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih

Talian Utama: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Penting: 03-77855955 atau 03-77810800

Persatuan Life Line Malaysia

Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk pekerja barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bagi pelarian di Malaysia, perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial juga disediakan melalui rakan kongsi UNHCR yang disenaraikan di sini.

Lihat Komen
ADS