3 kali tangguh levi pelbagai peringkat, bekas menteri mahu penjelasan
Bekas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran meminta penggantinya M Saravanan menjelaskan keputusan kementerian menangguhkan pelaksanaan levi pelbagai peringkat bagi kali ketiga.
Saravanan sebelum ini berkata sistem levi pelbagai peringkat akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, kira-kira enam bulan lalu.
"Sedihnya, kerajaan PH telah tumbang sebelum sistem ini dilaksanakan. Tapi, Saravanan telah membuat pengumuman akan memperkenalkan sistem ini pada 1 Januari 2022.
"Namun, sehingga kini ia tidak dilaksanakan dan telah ditangguhkan bagi kali ketiga. Menteri perlu perjelaskan," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, sistem berdasarkan model Singapura itu cuba diperkenalkan di Malaysia untuk untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Kulasegaran berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini bahawa majikan sukar mendapatkan pekerja asing kerana dakwaan gejala rasuah di kalangan pegawai-pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Ahli parlimen Ipoh Barat itu turut menafikan kenyataan Saravanan sebelum ini bahawa majikan boleh memohon pekerja asing secara dalam talian, tanpa ejen.
"Ia adalah satu rahsia terbuka bahawa kamu tidak boleh dapat kelulusan pekerja asing tanpa 'bantuan' ejen atau pegawai KSM,” katanya.

Mengakui ia bukan hanya berlaku zaman Saravanan, Kulasegaran berkata dia masih tidak nampak kesungguhannya menyelesaikan isu itu.
“Mungkin, dia tidak ingin mengotorkan tangan kerana PRU semakin dekat," katanya.
Menjelaskan sistem levi pelbagai peringkat, Kulasegaran berkata ia merupakan sistem pengambilan pekerja asing berdasarkan nisbah pekerja tempatan, yang dikaji ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sistem ini boleh mengurangkan keperluan untuk bertemu pemohon oleh pegawai kerajaan. Dengan tiada urusan langsung gejala rasuah dapat dikurangkan.
"Anda hanya perlu memohon pekerja asing melalui sistem ini.
“Dan sistem ini akan menentukan bilangan pekerja yang layak oleh majikan tanpa perlu berjumpa pegawai kerajaan.
“(Negara model) Singapura satu negara mempunyai jumlah pekerja asing lebih 1.3 juta tidak mempunyai isu rasuah atau sebarang kesukaran kepada majikan dalam pengambilan pekerja asing.
"Jadi, apa masalah dengan kerajaan hari ini? Kenapa masih enggan melaksanakan?" soalnya.
Malaysiakini telah menghubungi Saravanan bagi mendapatkan komennya.

