RUU antihendap dibentang untuk bacaan pertama
PARLIMEN | Langkah menjenayahkan kegiatan menghendap dan mengintip di Malaysia semakin hampir apabila rang undang-undang berhubung perkara itu dibentangkan di parlimen hari ini.
Awal hari ini, pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Perubahan yang dicadangkan adalah untuk mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda.
Seksyen 507A baru ditetapkan untuk diperkenalkan di bawah Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 bagi kesalahan menghendap.
Di bawah klausa itu, seseorang individu akan dianggap telah melakukan kesalahan menghendap atau mengintip jika orang itu berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui atau patut tahu, bahawa perbuatan tersebut menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kebimbangan kepada mana-mana orang berhubung keselamatan diri mereka.
Pindaan undang-undang yang dicadangkan juga termasuk perubahan kepada Kanun Prosedur Jenayah untuk memberikan mahkamah kuasa mengeluarkan perintah terhadap suspek yang disyaki dalam siasatan, melindungi mangsa daripada gangguan selanjutnya.
Seksyen 98A yang baru diwujudkan di bawah Akta Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan) 2022 membolehkan mangsa, peguam mereka dan penjaga kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak berupaya mendapatkan perintah perlindungan yang dikeluarkan mahkamah melalui permohonan ex parte.
Berikutan perintah yang dikeluarkan, suspek akan dilarang daripada terus melakukan sebarang perbuatan di bawah seksyen 507a Kanun Keseksaan.
Ini termasuk menghalang individu yang disyaki "daripada mendekati" mangsa atau mana-mana orang lain yang berkaitan atau dikaitkan dengan mangsa pada jarak yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
Kegagalan mematuhi perintah sekatan boleh menyebabkan hukuman sehingga satu tahun penjara, denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin telah membentangkan kedua-dua rang undang-undang itu di Dewan Rakyat awal hari ini.
Dia memberitahu Dewan bahawa kedua-dua rang undang-undang itu akan dibaca dan diluluskan pada sesi Parlimen akan datang pada Oktober tahun ini.
Pada 2019, Putrajaya mengumumkan bahawa ia sedang meneliti untuk membentangkan rang undang-undang untuk menjadikan tindakan menghendap sebagai jenayah. Ia telah membentuk sebuah jawatankuasa mengkaji kemungkinan pindaan kepada undang-undang untuk menjenayahkan akta itu pada tahun yang sama.

