Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan tolak kewarganegaraan untuk anak lahir luar negara oleh ibu warga Malaysia
Diterbitkan:  Aug 5, 2022 12:21 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Kerajaan berjaya dalam rayuannya untuk menafikan kerakyatan kepada anak kelahiran di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tetapi bapa warga asing.

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel tiga orang yang dipengerusikan oleh hakim Kamaludin Md Said membenarkan rayuan oleh tiga perayu - kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran.

Kamaludin dan ahli panel Azizah Nawawi membuat keputusan majoriti, manakala seorang lagi hakim S Nantha Balan menyampaikan keputusan tidak bersetuju dan menolak rayuan kerajaan.

Pada 9 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Responden dalam kes itu adalah enam ibu warganegara Malaysia dan kumpulan hak keluarga Family Frontiers.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menjelaskan bahawa kerakyatan yang telah diberikan kepada anak-anak daripada enam ibu warga Malaysia itu akan kekal, sementara menunggu rayuan mereka diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim itu juga memaklumkan bahawa status permohonan kewarganegaraan bagi anak-anak yang dilahirkan di luar negara itu yang masih belum selesai diproses oleh JPN akan 'dibekukan' sementara menunggu rayuan diputuskan di mahkamah tertinggi negara.

[Baca berita penuh]

Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang. 

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.

Sebelum ini, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara, pada 9 Sept 2021, berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu.

Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Kamaludin berkata perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu atau ibu bapa.

Sebaliknya Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk membenarkan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan melalui peruntukan undang-undang di bawah Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) hendaklah merangkumi ibu.

Hakim Kamaludin bagaimanapun berkata perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) dan peruntukan berkaitan dengannya dalam Jadual Kedua adalah jelas dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ‘ibu’.

“Hanya Parlimen yang boleh meminda Perlembagaan, bukan mahkamah, untuk meminda perlembagaan. Mahkamah tidak boleh sesuka hati mengubah Perlembagaan.

“Oleh itu, rayuan kerajaan dibenarkan tanpa perintah mengenai kos manakala keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.

Lihat Komen
ADS