Suhakam tolak dakwaan Samy Vellu
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menolak dakwaan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu bahawa tidak berlaku pencabulan hak asasi manusia di Pusat Tahanan Simpang Renggam.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menolak dakwaan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu bahawa tidak berlaku pencabulan hak asasi manusia di Pusat Tahanan Simpang Renggam.
Ini kerana siasatan delegasi Suhakam sebelum ini mendapati ianya berlaku di pusat tahanan tersebut, kata Pesuruhjayanya, Datuk N Siva Subramaniam.
Katanya, peraturan tahanan dan hak asasi manusia dicabuli sewaktu berlakunya insiden pada 4 Januari lalu di mana kira-kira 16 tahanan terpaksa dirawat di Hospital Kluang.
Sivasubramaniam juga berkata, lawatan pihak menteri ke Simpang Renggam menunjukkan bahawa usaha Suhakam untuk memperbaiki keadaan di pusat tahanan itu merupakan satu isu yang serius.
"Mereka (yang ditahan di pusat itu) di bawah Ordinan Darurat bukan (dibuktikan sebagai) penjenayah. Mereka ditahan kerana disyaki," katanya.
Pusat tahanan tersebut kini menampung kira-kira 4,200 tahanan yang ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Merbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Pada 25 Januari lalu, Samy Vellu mengumumkan bahawa beliau bersama tiga orang menteri telah diarah oleh kabinet melawat pusat tahanan itu dan melaporkan keadaannya, ekoran banyak aduan diterima daripada keluarga tahanan di situ.
Siasatan awam
Akhbar
New Straits Times
melaporkan hari ini bahawa Samy Vellu telah melawat pusat tersebut semalam bersama Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom dan Datuk Fu Ah Kiow, dan berkata beliau telah menyaksikan "penjara yang lebih teruk daripadanya".
Bernama pula melaporkan, Samy Vellu akan membentangkan laporan kepada kabinet mengenai isu penempatan tahanan yang terlalu ramai dan kekurangan bekalan air di pusat tahanan tersebut. Para tahanan telah dijangkiti penyakit kulit kerana mereka kurang mandi kerana masalah air.
Sivasubramaniam juga berkata, Suhakam akan mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh warden penjara memandangkan pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.
Suhakam telah memberi tempoh sebulan kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan tahanan dipukul. Jika gagal berbuat demikian, Suhakam akan mengadakan siasatan terbuka mengenainya.
Tiga pesuruhanjaya dijangka menganggotai panel siasatan tersebut, iaitu Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Dr Chiam Heng Keng dan pesuruhjaya yang baru dilantik, Datuk Khalid Ibrahim, yang juga bekas Pengarah Biro Aduan Awam.
"Kita sedang membuat persiapan untuk mengadakan siasatan tersebut. Mereka akan bermesyuarat pada 12 Februari ini untuk menetapkan tarikhnya," tambah Sivasubramaniam. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.