PH 'tunggu dan lihat' jika PN batal sokongan pada Ismail Sabri
Pakatan Harapan akan mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" jika Perikatan Nasional (PN) membatalkan sokongannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum memutuskan langkah seterusnya, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
"Terpulang kepada PN untuk memutuskan sama ada ia akan menarik diri daripada kerajaan. Ia bukan gesaan kami dan tiada kaitan dengan kami.
"Saat PN tarik diri, senario politik baru akan muncul. Apabila itu berlaku, Ismail Sabri akan kehilangan majoriti (sokongan di Dewan Rakyat). Kemudian, PH akan tentukan apa yang perlu dilakukan seterusnya," katanya.
"(Tetapi pada ketika ini), kami tidak akan memberikan sebarang komitmen, kami akan tunggu dan lihat sahaja," katanya pada sidang media hari ini.
Loke ditanya sama ada PH akan mengekalkan Ismail Sabri untuk menangguhkan pilihan raya umum (PRU) ke-15 jika PN menarik balik sokongannya kepadanya.

Ahli parlimen Seremban itu juga menuduh Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin tidak konsisten dalam perkara ini.
“Mereka takut kehilangan jawatan (dalam kerajaan),” tambahnya.
PN dilaporkan mengancam untuk menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Ismail Sabri untuk memenuhi perjanjian untuk melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu.
Bagaimanapun, ahli majlis tertinggi Bersatu Faiz Na'aman menafikan perkara itu dan menegaskan parti itu akan terus menyokong perdana menteri.
Selain Bersatu, PN dianggotai PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Progresif Sabah.
Tidak terpengaruh dengan ugutan itu, Ismail Sabri berkata dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan pilihan raya umum awal.

