Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menggesa kerajaan segera meninda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Ketua Penerangan PKR itu berkata ia perlu bagi mewajibkan pihak seperti penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88 memberi notis sepantas mungkin kepada pihak berkuasa dan mangsa apabila berlaku pencerobohan atau kecurian data.

“Data peribadi kita perlu dilihat sebagai aset dan khazanah negara. Oleh itu keselamatan data peribadi mesti diberi perhatian amat serius, dihormati sepenuhnya, dan dilindungi sepanjang masa.

“Bayangkan Mangsa-mangsa ini akan mengalami trauma, kegusaran dan kerisauan tentang data peribadi mereka yang telah dicuri, serta aktiviti jenayah yang mungkin berlaku berkait data mereka itu.

"Malah jika mereka nanti menjadi mangsa scammer," katanya dalam satu kenyataan.

Free Malaysia Today semalam melaporkan iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin telah menjejaskan data kad pengguna.

Dalam satu kenyataan, iPay88 berkata sejak 31 Mei lalu, mereka telah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu tersebut.

“Proses pembendungan berjaya diselesaikan dan tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai.

“Bagi memastikan keselamatan data kad yang berterusan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan kawalan baru untuk mengukuhkan keselamatan sistem terhadap insiden selanjutnya.

“Siasatan sedang dijalankan dan kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pihak berkaitan. Butiran lanjut akan dikongsi dalam masa terdekat dan rakan kongsi institusi kewangan telah dimaklumkan,” iPay88 dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

Firma e-dagang itu berkata siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.

Bagaimanapun Ipay88 tidak menyatakan bila pelanggaran keselamatan dipercayai berlaku.

Ekoran daripada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa ketika mengesahkan perkara terbabit berkata kerajaan telah memulakan siasatan berhubung pelanggaran keselamatan siber melalui iPay88.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata dia kesal kerana iPay88 hanya mengumumkan kejadian tersebut semalam, selepas hampir tiga bulan kejadian berlaku.

Menurut Fahmi, iPay88 juga tidak memberi sebarang maklumat lengkap tentang jumlah data peribadi atau mangsa yang terkesan serta langkah-langkah yang telah diambil untuk memaklumkan mangsa pencerobohan data peribadi.

“iPay88 wajib menjelaskan bila syarikat itu sebenarnya mengesan pencerobohan atau kecurian data berlaku, mengapa ia tidak membuat pemakluman lebih awal dan mengapa ia tidak memaklumkan mangsa-mangsa yang terkesan.

"iPay88 harus sedar, tanpa data peribadi mangsa-mangsa ini, model perniagaan syarikat seperti iPay88 pasti tidak berjaya. Oleh itu, jika iPay88 serius dan ikhlas dalam menangani insiden keselamatan siber ini, ia harus memberi pampasan kewangan kepada semua mangsa ini,” kata ketua penerangan PKR itu.

Pada 16 Julai, Fahmi mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda PDPA.

Selain mewajibkan firma swasta untuk memaklumkan pihak berkuasa tentang pelanggaran data, rang undang-undang itu juga dicadangkan untuk memasukkan kerajaan persekutuan dan negeri di bawah perundangan kerana pada masa ini ia hanya mengawal pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

Sementara itu, Fahmi turut terpanggil untuk menegur Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)

“Semalam, berkait insiden iPay88 ini, ABM dan AIBIM telah mengeluarkan kenyataan bahawa bank-bank komersial memandang serius keselamatan pemegang kad-kad kredit.

"Namun realitinya kenyataan ABM dan AIBIM ini hanya bagai ‘melepaskan batuk di tangga’.

"ABM dan AIBIM, serta badan-badan lain seperti Bank Negara Malaysia dan bank-bank komersial itu sendiri, perlu lebih proaktif membantu mangsa-mangsa kecurian data peribadi akibat kelemahan keselamatan mana-mana bahagian di dalam ekosistem kewangan, seperti dalam kes iPay88 ini,” katanya.

Oleh yang demikian, Fahmi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sepenuhnya insiden-insiden pencerobohan, kecurian dan kebocoran data peribadi serta mengenalpasti langkah-langkah menyeluruh bagi memperkasa keselamatan siber negara.

“Lebih 100 juta data peribadi telah dicuri sejak lima tahun kebelakangan ini termasuk insiden iPay88. Justeru, kami menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat sepenuhnya insiden-insiden terbabit bagi mendapatkan keadilan buat mangsa-mangsa kecurian data peribadi termasuk mangsa-mangsa ‘scammer’,” katanya.