Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai jualan 10 peratus ke atas barangan import bernilai rendah (LGV) yang dijual dalam talian sehingga selepas kemelesetan ekonomi yang dijangkakan tahun depan.
Jelas Lim, walaupun terdapat keperluan untuk mewujudkan padang yang sama rata dengan mengenakan cukai yang sama ke atas pembekal asing seperti yang dikenakan ke atas pembekal tempatan, kerajaan sepatutnya menangguhkan cukai jualan dalam talian 10% untuk pembekal tempatan bagi harga LVG di bawah RM500.
"Banyak pembelian dalam talian barangan bernilai rendah di bawah RM500 dibuat oleh golongan berpendapatan rendah," katanya.
Ketika ini, barangan bernilai rendah berharga RM500 dan ke bawah tidak dikenakan sebarang cukai apabila ia diimport ke Malaysia.
Ia dianggap menyebabkan layanan tidak adil kepada peniaga tempatan kerana LVG keluaran tempatan di bawah RM500 tertakluk kepada cukai jualan serta disalahgunakan oleh pembekal asing yang tidak jujur, yang mengisytiharkan barangan bernilai tinggi sebagai barang bernilai rendah bernilai RM500 dan ke bawah untuk mengelak daripada dikenakan cukai.
Pada awal bulan ini, kerajaan meluluskan Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 di Parlimen untuk mengenakan cukai jualan sama rata 10 peratus pada 1 Januari 2023 ke atas LVG di bawah RM500 yang dibeli secara dalam talian daripada pembekal asing dan dihantar ke Malaysia.
Kerajaan menjangka akan memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM200 juta daripada pindaan itu.
Namun, kata Lim, tambahan hasil itu akan ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.
"Kerajaan sepatutnya mengurangkan beban cukai mereka dan bukannya meningkatkannya semasa kemelesetan ekonomi akan melanda dan harga yang naik melambung tinggi.
"Walaupun adalah hasrat kerajaan untuk mewujudkan padang sama rata bagi pembekal dalam talian domestik yang kini mengenakan cukai jualan 10 peratus ke atas LVG tetapi bukan pembekal dalam talian asing, pendekatan yang lebih bijaksana adalah untuk menangguhkan cukai jualan ke atas semua LVG untuk kedua-dua pembekal asing dan domestik sehingga kemelesetan ekonomi akan datang berakhir," kata ahli parlimen Bagan itu. .
Tambah Lim, ancaman kemelesetan ekonomi global adalah nyata seperti yang dapat dilihat daripada prestasi ekonomi AS yang kini mengalami kemelesetan teknikal dalam dua suku pertama 2022 dan ramalan Bank of England bahawa United Kingdom akan mengalami kemelesetan ekonomi pada suku akhir tahun 2022.
Menurutnya, meskipun cukai tambahan perlu untuk membantu menjana pertumbuhan ekonomi untuk mengatasi kemelesetan, kerajaan tidak boleh tenggelam dalam permainan politik dan terus menyatakan keyakinan bahawa Malaysia boleh mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi 2022 setinggi 6.3 peratus.
"Malah Tabung Kewangan Antarabangsa telah menurunkan sasaran pertumbuhan tertinggi Malaysia bagi 2022 kepada 5.6 peratus," katanya.
Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengakui bahawa adalah sukar bagi Malaysia untuk mengelak kemelesetan ekonomi tahun depan dengan ekonomi global dijangka perlahan.
Rang undang-undang itu, yang diluluskan Dewan Rakyat pada 4 Ogos, akan dilaksanakan tahun depan.
