Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: BN berdepan laluan lebih sukar jika PRU15 tahun depan

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan jika PRU15 diadakan tahun depan, gabungan BN bakal berdepan laluan yang lebih sukar susulan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

“Saya fikir tahun ini adalah paling sesuai untuk kita adakan (PRU15),” kataya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata kesiapsiagaan BN untuk menghadapi PRU15 telah dimulakan di semua peringkat dengan rancangan untuk bersaing dengan semangat ‘underdog’ bagi memastikan jentera parti berusaha sebaiknya untuk memperoleh sokongan pengundi.

“Kita mesti mengusahakan lebih daripada apa yang kita perolehi terdahulu. Kita berusaha ke arah untuk dominan pada (PRU15) kali ini, walaupun kita merupakan parti underdog yang diserang daripada pelbagai sudut terutama dengan isu-isu yang banyak ditujukan kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata BN perlu tangkas menangkis tohmahan pembangkang, terutamanya di media sosial dalam isu-isu berbangkit seperti isu kapal tempur pesisir (LCS) bagi mengelak ia daripada “membunuh” BN.

Dia yang juga presiden UMNO berkata jentera BN tidak boleh menunggu sehingga tempoh berkempen untuk menjawab isu berkenaan.

“Tugas media sosial Wanita BN, Pemuda, Puteri dan media sosial komunikasi BN (BN Comms) adalah jawab dengan segera semua isu-isu yang dibangkitkan. Jangan tunggu. Kita kena menjangkakan terlebih dahulu,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kepimpinan parti bersedia untuk membawa resolusi dibentang Pengerusi Wanita BN Dr Noraini Ahmad di konvensyen hari ini sebagai manifesto BN untuk PRU15.

Resolusi tersebut antaranya merangkumi penubuhan bank wanita dan universiti wanita, kelonggaran bekerja dari rumah untuk ibu yang mempunyai anak berusia dua tahun dan pindaan dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan anak daripada ibu warganegara dan bapa warga asing.

Turut hadir pada penutup konvensyen BN ialah naib pengerusinya merangkap Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC S Vigneswaran serta Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abdul Kadir.

-Bernama

Lihat Komen
ADS