Perhimpunan bantah pencerobohan Masjid al-Aqsa
Kira-kira dua ratus orang menyertai perhimpunan di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur petang tadi kerana membantah tindakannya menyokong perbuatan Israel menjalankan kerja-kerja penggalian berhampiran halaman Masjid al-Aqsa.
Kira-kira dua ratus orang menyertai perhimpunan di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur petang tadi kerana membantah tindakannya menyokong perbuatan Israel menjalankan kerja-kerja penggalian berhampiran halaman Masjid al-Aqsa.
Perhimpunan tersebut disertai oleh Dewan Pemuda PAS (DPP), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) serta pelajar pusat pengajian tinggi tempatan.
Perhimpunan tersebut diketuai oleh Ketua Dewa Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Pemimpin Pemuda PAS lain yang turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Awang; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Syed Azman Ahmad Nawawi dan Ketua Muslimah, Azizah Khatib Mat.
PAS kemudiannya menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, yang disampaikan oleh Bendaharinya, Dr Hatta Ramli kepada wakil kedutaan itu kira-kira jam 3 petang tadi.
Antara lain, memorandum itu menegaskan bahawa PAS dan umat Islam marah dengan provokasi yang dibuat oleh Israel ke atas Masjid al-Aqsa.
Polis kawal
"Apa yang Israel lakukan itu adalah kerana sokongan Amerika, oleh kerana itu kuasa besar dunia perlu bertanggungjawab terhadap tindakan biadah negara Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa.
"Kita juga kesal dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang gagal bertindak menghalang Israel daripada cuba memusnahkan masjid tersebut," kata Dr Hatta ketika membaca memorandum tersebut kepada kira-kira 200 orang yang berhimpun di depan Amerika tersebut.
Sepanjang perarakan yang bermula dari Bangunan Tabung Haji ke kedutaan tersebut, mereka melaung slogan `Jahanam Amerika, Jahanam Israel dan Hidup Islam."
Sementara itu, Salahuddin dalam ucapannya berkata, tindakan Israel ke atas umat Islam termasuk dalam isu Masjid al-Aqsa mendapat sokongan penuh dari Amerika.
Katanya, adalah menjadi kewajiban umat Islam untuk untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara itu dari cengkaman Israel.
Kira-kira 100 anggota polis mengawal perhimpunan tersebut dan ia berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

