Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muda bidas janji BN selesai isu kerakyatan anak lahir di luar negara
Diterbitkan:  Aug 15, 2022 3:47 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Janji Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan isu kerakyatan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dalam manifesto pilihan raya gabungan itu cuma sekadar 'helah politik'.

Ahli Jawatankuasa Pusat Muda Ainie Haziqah Shafiee berkata demikian sebagai mengulas ikrar Zahid semalam yang dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos menyebelahi kerajaan dalam memutuskan anak yang dilahirkan oleh ibu Malaysia di luar negara tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Ainie Haziqah berkata "sudah-sudahlah bersandiwara konon" BN akan mempertahankan hak wanita Malaysia jika mereka dipilih menjadi kerajaan memandangkan isu itu telah wujud sejak sekian lama, walaupun ketika gabungan itu memerintah dulu.

"Ini pastinya sandiwara Kerajaan Barisan Nasional kerana isu anak kelahiran ibu warganegara bukan isu baru.

"Mereka sudah memegang tampuk kepimpinan lebih enam dekad. Ahmad Zahid sendiri merupakan menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018 tapi adakah beliau peduli selama ini?

"Kalau betul peduli, kerajaan BN boleh bentang di sidang parlimen seterusnya dan luluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebab itu, semua ini hanyalah 'helah' politik BN mahu membeli undi sebelum PRU15,” kata Ainie, yang menerajui biro keluarga dan gender Muda pada satu kenyataan.

Dia berkata rekod prestasi pentadbiran BN juga menunjukkan isu wanita bukan dasar yang diutamakan gabungan itu malah Aini mendakwa BN telah berulang kali mendiskriminasi wanita.

Wanita BN mahu perlembagaan diubah

Justeru, dia menggesa pengundi wanita supaya tidak terpedaya dengan “dongeng” BN dan menolak gabungan itu pada pilihan raya akan datang.

Zahid berjanji akan memasukkan isu kerakyatan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia itu dalam manifesto pilihan raya BN pada konvensyen gabungan itu semalam.

Dia berkata demikian selepas sayap wanita gabungan itu merayu supaya kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menangani perkara berkenaan.

Ketua Wanita BN Noraini Ahmad (gambar, atas) dalam ucapan penangguhannya menggesa kerajaan meminda Perkara 14(1)(b) Perlembagaan, dengan memasukkan perkataan “ibu” atau perkataan “bapa” ditukar kepada “ibu bapa”.

Tanpa perubahan ini, kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia tetapi berbapakan warga asing tidak boleh menerima kerakyatan Malaysia secara automatik, berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Enam ibu warga Malaysia pada Disember 2020 membawa kes itu terhadap kerajaan, dengan sokongan daripada Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan KL, dikenali sebagai Family Frontiers.

Malaysia ialah salah satu dari 25 negara yang tidak memberikan hak sama rata kepada ibu dan bapa di bawah undang-undang kewarganegaraan negara.

Anak yang lahir di luar negara dengan berbapakan warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan asing boleh mendapat kerakyatan secara automatik, tanpa mengira kewarganegaraan ibu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS