S'gor bawa usul enakmen warta khazanah sejarah
Kerajaan Selangor akan membawa usul Enakmen Pewartaan Khazanah Bersejarah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dijangka berlangsung pada November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan serta Warisan negeri Borhan Aman Shah berkata langkah itu akan membolehkan kerajaan Selangor mewartakan sendiri khazanah bersejarah yang terdapat di negeri itu.
"(Sekarang ini) kita perlu memohon kepada Jabatan Warisan Negara, kemudian minta izin dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, baru boleh (untuk diwartakan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Jejak Warisan Bandar Raya Diraja Klang Siri Dua di Klang, Selangor hari ini.
Bengkel anjuran Majlis Perbandaran Klang itu diadakan sebagai langkah memelihara dan memulihara khazanah bersejarah di daerah tersebut yang disertai seramai 50 peserta, terdiri daripada kakitangan agensi awam dan swasta.
Borhan berkata setakat ini di daerah Klang, Gedung Raja Abdullah telah diwartakan sebagai khazanah bersejarah negeri manakala Jambatan Kota dan Perpustakaan Awam (Perpustakaan Daerah Klang) sedang dalam proses permohonan.
Katanya, Gedung Raja Abdullah yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri yang pertama, sedang menjalani proses baik pulih dan akan dibuka kepada pengunjung mulai Disember ini atau awal tahun depan.
-- BERNAMA

