Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata bayaran tol Sungai Nyior di laluan yang menghubungkan Seberang Perai-Butterworth tetap akan dikenakan kerana kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membinanya bagi kemudahan rakyat.

Katanya, kadar bayaran tol di laluan itu, yang dibantah oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) tempatan, akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Isnin ini.

Pembinaan plaza tol itu mencetuskan kontroversi kerana ia bukan laluan baru yang dibina menerusi projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) sepanjang 19km, tetapi laluan sedia ada yang menghubungkan kedua-dua kawasan itu.

Menurut laporan Bernama, semalam, semua pengerusi komponen Barisan Nasional (BN) dari empat bahagian Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Bagan dan Batu Kawan di Pulau Pinang merayu Kerajaan Persekutuan supaya menimbangkan kadar tol yang munasabah bagi laluan berkenaan agar ia tidak membebankan rakyat.

Surat rayuan berkenaan telah dihantar kepada Samy Vellu dan salinannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sementara itu Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, pengguna laluan tersebut boleh menggunakan jalan itu secara percuma untuk tempoh lima hari lagi apabila penguatkuasaan tol yang dijadual Rabu ini ditangguhkan hingga 20 Februari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di Sungai Siput hari ini, beliau berkata Kabinet telah bersetuju supaya bayaran tol di laluan tersebut hanya dikuatkuasakan pada 20 Februari ini.

Jalan alternatif

Samy Vellu berkata sepatutnya para pengguna yang melalui laluan berkenaan dikenakan tol berkuatkuasa pada Rabu ini tetapi atas permintaan Dr Koh, kerajaan bersetuju memberi penangguhan itu.

Beliau berkata bayaran tol tetap akan dikenakan kerana kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina laluan tersebut bagi kemudahan rakyat.

Samy Vellu berkata lebih RM700 juta dibelanjakan bagi projek BORR yang bertujuan untuk menangani kesesakan lalu lintas selain kemudahan pengguna untuk ke pelabuhan dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Beliau berkata pengguna juga boleh menggunakan jalan alternatif jika tidak mahu mengunakan laluan berkenaan.

Selain Plaza Tol Sungai Nyior, terdapat dua lagi plaza tol yang dibina di jajaran BORR iaitu di Perai dan Bagan Ajam.

Mulai 15 Januari lalu, syarikat konsesi BORR iaitu Lingkaran Luar Butterworth (LLB) Sdn Bhd, membuka laluan berkenaan secara percuma selama sebulan.

Lebuhraya tersebut mengandungi enam persimpangan bertingkat termasuk jambatan baru di Sungai Perai sepanjang 1.9 kilometer.