Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prinsip dilakar Hadi jadi dasar PAS mahu satukan parti Melayu
Diterbitkan:  Aug 18, 2022 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

PAS menjadikan prinsip yang ditetapkan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang, sebagai dasar mereka mengusahakan "penyatuan ummah" bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin juga berkata partinya akan terus berusaha menjayakan agenda itu demi memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat didepani mereka secara satu lawan satu.

Tiga dasar yang dijadikan asas oleh Abdul Hadi itu, kata Khairil Nizam, ialah adil kepada semua, satu keluarga Malaysia dan Islam memimpin.

"Seiring dengan slogan 'Islam menyatukan ummah', PAS menyeru semua pihak untuk mendukung agenda penyatuan ummah ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera," katanya hari ini.

Menurut senator Dewan Negara itu, agenda berkenaan memerlukan penyatuan parti politik Melayu-Islam bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU ke-14 lalu.

"Prinsip PAS dalam politik adalah jelas dan PAS akan berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU ke-15 melalui apa jua kaedah dan cara selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti," kata Khairil Nizam.

Seruan itu dibuat ketika ada sesetengah pemimpin PAS menyatakan secara terbuka untuk 'bertembung' dengan Umno-BN, seperti yang disuarakan Pemuda PAS baru-baru ini.

Pada 16 Ogos lalu Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menyeru pelbagai pihak - termasuk penyokong PH - untuk menjatuhkan Umno-BN di Pahang.

Seruan itu disambut oleh PAS Pahang hari ini.

Di Kedah, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, sudah menawarkan kepada Umno untuk "menumpang kekuatan" mereka untuk menghadapi PRU akan datang.

Sebagai rekod PAS kini menjadi rakan gabungan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN), selain turut bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Umno pula dalam penegasan beberapa pemimpin utamanya berkali-kali menegaskan parti itu akan bergerak secara solo dalam PRU nanti.

Pemimpin PAS tertentu pula menjangkakan PH memiliki potensi untuk memenangi PRU ke-15 berdasarkan perkembangan semasa dan ia hanya boleh digagalkan jika Umno dan PAS memulihkan MN.

Khairil Nizam mendakwa, kemenangan PH dalam PRU ke-14 sebelum ini hanya menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara ini apabila "membawa banyak masalah" termasuk membabitkan kepentingan Melayu dan Islam.

Lihat Komen
ADS