Polis menahan sepasang kekasih disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran pelbagai dadah dianggar bernilai lebih RM1.2 juta di sekitar Lembah Klang pada 10 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata lelaki tempatan dan teman wanitanya yang merupakan warga Vietnam itu ditahan di sebuah hotel di kawasan Pusat Perdagangan One Puchong..

Katanya susulan penahanan kedua-dua suspek berusia 20 tahun itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, pil eramin 5 dan ekstasi di sebuah kondominium di Kepong.

“Modus operandi pasangan itu adalah membungkus semula dadah tersebut dalam bentuk peket lebih kecil sebelum diedar di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lepas. Dadah dirampas ini dipercayai dapat menampung penggunaan 50,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Anbalagan berkata polis juga sedang menyiasat sama ada suspek terbabit memproses sendiri dadah berkenaan atau mereka mendapatkan bekalan dari dalam atau luar negara.

Katanya suspek direman sehingga 24 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama