Seramai 25 orang terkorban akibat 921 kemalangan jalanraya pada hari pertama Ops Sikap XII dan jumlah kematian yang besar itu amat mengejut dan mengecewakan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar.

Dalam Ops Sikap X yang dilancarkan sempena Tahun Baru Cina Januari tahun lalu, hanya 14 kematian dicatatkan pada hari pertama operasi dijalankan.

"Saya hampir tidak percaya apabila mendengar taklimat berhubung hari pertama Ops Sikap pagi ini. Saya mahukan jawapan, di mana silapnya (operasi-operasi polis ini). Hati saya benar-benar terusik melihat angka-angka ini awal pagi ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, pihak polis sudah berusaha keras melaksanakan pelbagai kempen bagi mengurangkan kemalangan jalan raya, namun jumlahnya masih tinggi.

Daripada jumlah yang terkorban itu, lapan berlaku di jalan-jalan perbandaran, jalan negeri (7), jalan-jalan persekutuan (5), lebuhraya (4) dan lain-lain jalan (1).

"Sekali lagi penunggang motosikal kekal menjadi pengguna jalan raya paling ramai terkorban akibat kemalangan, dengan jumlah kematian menjangkau 17 orang, diikuti pemandu kereta (4), penumpang (1), pejalan kaki (2) dan seorang penunggang basikal.

"Saya beri amaran kepada semua pengguna jalanraya, tolong patuhi peraturan trafik dan jangan buat hal dengan kami (petugas trafik). Cukuplah, saya sudah tidak boleh bersabar lagi dengan jumlah kemalangan dan kematian yang tinggi," tambahnya.

Bagaimanapun Nooryah berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran anggota polis beruniform dalam bas-bas ekspress bagi mengawasi para pemandu bas itu semasa Ops berkenaan, kerana menurutnya ia menunjukkan keberkesanan, apabila semua bas-bas yang membawa anggota polis berkenaan

tiba ke destinasi mereka dengan selamat.

"Sekurang-kurangnya berita ini melegakan saya. Kami akan cuba sebaik mungkin bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalanraya dan saya benar-benar bertekad menjayakannya," katanya.