Pembahagian kerusi PN hampir selesai - Ahmad Faizal
Perikatan Nasional (PN) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi bagi hampir semua kawasan dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen antara parti-parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu berkata berlaku juga pertindihan dalam proses tersebut namun jumlahnya terlalu sedikit.
"Kami akan muktamadkan tidak berapa lama lagi dan semuanya berjalan dengan baik.
"Alhamdulillah saya dapati parti-parti komponen dalam PN satu hati dan apabila keputusan dibuat nanti semua akan akur dan patuh kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.
"Terlalu sikit yang bertindih yang memerlukan kami mengadakan lagi rundingan.
"Jika masih lagi bertindih ia akan kami bawa dan sampaikan ke peringkat mesyuarat antara presiden parti-parti komponen," katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan PN Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Ditanya mengenai jentera pilihan raya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata parti-parti komponen PN sudah bersiap siaga menghadapi PRU15.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/08/f2028ffbf45d8032363faf9874409eff.jpg)
