Kakitangan akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyokong presiden kesatuan pelajar universiti itu, yang didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana membantah kenaikan harga barangan.

Muhammad Aliff Naif pada 17 Ogos diheret ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah kerana terbabit dengan perhimpunan Turun di Kuala Lumpur pada 23 Julai 2022.

Menurut Persatuan Kakitangan Akademik UIAM kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan Aliff adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kami amat percaya bahawa kebebasan asas ini mesti dihormati dan sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan mereka yang menggunakan hak tersebut mesti dikecam.

“Bantahan awam adalah manifestasi tuntutan awam dan harus diiktiraf oleh penggubal dasar sebagai penting untuk menambah baik dasar sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Aliff adalah antara penceramah pada perhimpunan Turun, yang menarik kira-kira 100 penunjuk perasaan.

Kumpulan itu merancang untuk berarak dari luar pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka tetapi disekat ketika berarak.

Lima tuntutan mereka kepada kerajaan ialah: gaji menteri dipotong, subsidi kerajaan diteruskan, bantuan sewajarnya diberikan kepada rakyat, harga barang dikawal, dan isu keselamatan makanan ditangani.

Aliff didakwa bersama Ketua Pemuda PKR Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya dan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda.

Hasbie didakwa atas peranannya dalam bantahan Amanah terhadap kenaikan harga barang, di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 Julai.