Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk menghalalkan ganja untuk tujuan perubatan sahaja.

Ini bermaksud penggunaaan untuk tujuan rekreasi akan kekal dilarang.

“Jika bukti klininal terkumpul menunjukkan ganja selamat dan berkesan untuk tujuan perubatan, kita akan merangka rangka kerja kawal selia dan garis panduan amalan klinikal.

“Ambil maklum, penggunaan rekreasi tidak dibenarkan,” tulisnya di Instagram.

Produk ganja yang dipamerkan di sebuah kedai di Bangkok, gambar hiasan

Khairy kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Thailand bagi menilai potensi ganja dan ketum untuk tujuan perubatan.

Lawatan itu dibuat susulan undangan timbalan perdana menteri merangkap menteri kesihatan Thailand Anutin Charnavirakul.

Thailand ialah negara pertama di Asia yang membenarkan penanaman dan penggunaan ganja, termasuk untuk tujuan rekreasi.

Kerajaan Thailand menjangkakan industri ganja negara itu, melibatkan lebih 1,000 produk makanan dan kosmetik, akan menghasilkan AS$435.16 juta (RM1.95 bilion) menjelang 2026.

Di Malaysia, beberapa rakyatnya sedang berdepan hukuman mati dan penjara kerana mengedar dan menggunakan ganja perubatan.