Ambiga: Jangan buat PRU hanya untuk 'selamatkan tengkuk' beberapa individu
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berada dalam tekanan oleh Umno untuk mengadakan PRU dan tekanan itu kelihatan meningkat selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak.
Justeru, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan berharap Ismail Sabri, yang merupakan naib presiden Umno, tidak tunduk pada tekanan itu.
Menyasarkan kritikannya terhadap "panglima perang" (warlord) dalam Umno, Ambiga berkata Parlimen tidak sepatutnya dibubarkan hanya untuk "selamatkan tengkuk seorang, mungkin dua atau tiga individu".
"Para warlord ini tidak boleh dibenarkan mentadbir negara lagi," katanya kepada Malaysiakini.
"Mereka langsung tidak kisah mengorbankan negara dan rakyat hanya untuk melindungi segelintir individu. Dan mereka melakukannya dengan penuh angkuh dan rasa berhak. Mereka tak hormat Perlembagaan dan merasakan diri mereka melangkaui undang-undang," katanya lagi.
Walaupun dia tidak merujuk sebarang nama secara khusus, namun jelas salah seorang individu yang dimaksudkannya adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang berdepan sejumlah pertuduhan jenayah.
Pada 20 Ogos lalu, Zahid yang juga pengerusi BN berkata Umno berisiko kalah jika PRU15 tidak diadakan pada tahun ini.

Menurut Zahid, Umno kini dalam kedudukan yang kuat dan langkah melengahkan PRU bermakna "memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang".
Mengulas lanjut, Ambiga berkata melaksanakan PRU15 pada masa ini boleh dilihat sebagai langkah tidak bertanggungjawab.
"Orang sudah bosan melihat desakan tanpa henti agar ada yang dikecualikan daripada pelaksanaan undang-undang. Amat jelas para warlord ini tidak kisah kepada rakyat.
"Di tahap ini, sudah ada satu takat kestabilan. Beberapa perundangan yang patut dipuji telah diluluskan. Tiada sebab untuk laksanakan pilihan raya.
"Jika pilihan raya diadakan ekoran kelakuan mereka, saya sejujurnya berharap mereka akan dihukum dan tidak akan dibenarkan kembali berkuasa lagi," kata Ambiga.
Belanjawan 2023 lebih awal
Pada masa sama, PH juga bimbang peluang kemenangannya dalam pilihan raya mungkin terjejas jika jumlah keluar mengundi menurun.
Kemungkinan itu berdasarkan tanggapan penyokong gabungan itu kecewa selepas kerajaan PH, yang menumbangkan Najib dan BN dalam PRU 2018, tumbang hanya selepas 22 bulan mentadbir negara.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 3 Oktober ini, iaitu tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. Ia menghangatkan lagi spekulasi bahawa PRU15 sudah kian hampir.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan perubahan jadual itu ada kaitan dengan pilihan raya.
Sementara itu, Ambiga juga menyuarakan kemarahannya berkenaan laporan media yang Ismail Sabri dikatakan diberi kata dua ketika mesyuarat biro politik Umno pada Rabu lalu, sehari selepas Najib mula menjalani hukuman penjara.
Mengulas satu laporan yang mendakwa Ismail Sabri diminta menyingkirkan ketua hakim negara dan peguam negara, selain membubarkan Parlimen, dia berkata: "Para warlord Umno perlukan penasihat undang-undang yang bagus".
"Baguslah Ismail Sabri juga seorang peguam. Saya pasti bekas perdana menteri sebelum ini yang juga peguam akan tergamam dengan desakan itu," katanya lagi.
Beberapa pemimpin Umno bagaimanapun menafikan laporan itu, antaranya setiausaha agung Ahmad Maslan yang menyifatkannya sebagai "fitnah".
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/07/2b6b0e486168c28af1cb3ac28ef3fd33.jpg)
