Badan pemantau pilihan raya Bersih menggesa semua pihak menolak pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan segera untuk menyelamatkan "kleptokrat" daripada keadilan di mahkamah, seperti yang didesak oleh pihak tertentu dalam Umno.

Bersih sebaliknya menggesa semua pihak menyokong konvensyen baru "Parlimen Berpenggal Tetap" dengan membenarkan Parlimen ke-14 hanya dibubarkan pada 15 Julai tahun depan.

Kumpulan itu juga bimbang pembentangan Belanjawan 2023 dipinda ke 7 Okt, iaitu tiga minggu awal dari tarikh sebelumnya, yang menurut mereka mencetuskan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan sehari selepas itu, untuk menarik undi melalui belanjawan.

Bersih turut mengecam pihak yang tanpa segan silu menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memohon pengampunan bagi bekas perdana menteri Najib Razak dan pembubaran awal Parlimen.

"Terang lagi bersuluh bahawa mereka mahukan sebuah kerajaan baru yang akan memohon ampun bagi Najib, menekan para hakim malah mungkin menarik balik pendakwaan untuk kes-kes rasuah yang lain.

"Sekiranya penyokong kleptokrat berjaya, maka gejala dua darjat akan terinstitusi – politikus kerajaan akan 'terselamat' daripada sebarang akibat selepas melanggar undang-undang dan merompak rakyat, selagi mana mereka memenangi pilihan raya," katanya.

Bersih memberi amaran bahawa penginstitusian perlindungan kepada 'kleptokrat' bukan sahaja menghancurkan kedaulatan undang-undang dan masyarakat, malah ekonomi.

Justeru, Bersih menggesa Ismail Sabri berpegang teguh pada janjinya untuk tidak campur tangan dalam badan kehakiman dengan menolak gesaan pilihan raya umum awal.

"Ismail Sabri perlu ingat mandat beliau adalah daripada Parlimen dan bukannya Umno.

"Perdana menteri perlu segera melaksanakan reformasi utama bagi melindungi Malaysia daripada kleptokrat.

"Paling mustahak adalah pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan pendakwaan oleh Peguam Negara yang merupakan lantikan politik, di mana keputusannya mungkin dipengaruhi oleh pertimbangan politik," katanya.

Kumpulan itu mendakwa jika selepas PRU ke-15 peguam negara menarik balik semua pertuduhan terhadap Najib dalam baki empat kesnya, tiada apa yang boleh dilakukan oleh hakim.

Kata Bersih, ini akan menyebabkan Najib bebas jika berjaya menerima pengampunan diraja atas kes SRC International.

Pembaharuan mendesak lain yang disenaraikan Bersih termasuk undang-undang pembiayaan politik yang akan menyediakan pembiayaan awam yang mencukupi kepada parti-parti politik untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada "dana kotor", pelantikan jawatankuasa pilihan tetap untuk meneliti setiap kementerian, dan pembaharuan dalam pengundian tidak hadir untuk luar wilayah dan pengundi luar negara untuk menaikkan kadar keluar mengundi.