Beberapa pemimpin DAP mengecam serangan terhadap hakim yang terlibat dalam kes SRC International bekas perdana menteri Najib Razak.

Mereka berkata serangan sedemikian bertujuan menjejaskan keyakinan terhadap sistem kehakiman dan perundangan Malaysia.

"Badan kehakiman adalah institusi penting dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, dan semua pihak harus memastikan bahawa badan tersebut bebas daripada apa-apa bentuk ganggu-gugat dan campur tangan politik,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP Syahredzan Johan, Young Syefura Othman, dan Sheikh Umar Bagharib Ali.

Mereka berkata serangan terhadap hakim menunjukkan Umno tidak akan teragak-agak untuk menyasarkan hakim Melayu-Islam yang dihormati untuk kepentingan politik mereka, walaupun mereka juga mengatakan bahawa bangsa dan agama hakim tidak ada kena mengena dengan kemampuan dan integriti mereka.

"Kami ingin tekankan di sini bahawa walaupun rakyat bebas mengkritik keputusan mana-mana mahkamah, tetapi fitnah, tohmahan dan ugutan terhadap mana-mana hakim tidak boleh diterima sama sekali," kata mereka.

Kenyataan itu hadir berikutan beberapa siri serangan terhadap hakim berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa untuk mengekalkan sabitan Najib.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada hari itu. Dia juga dikenakan denda RM210 juta, atau lima tahun penjara lagi jika gagal membayar denda.

Antara lain, sebuah laman web mendakwa Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (gambar atas) - yang mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan - dan suaminya telah disenaraihitamkan oleh istana Kelantan. Istana Kelantan telah menafikan dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Ugutan juga telah dibuat terhadap ketua hakim. Polis telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung kes itu.

Sementara itu, ketiga-tiga pemimin DAP itu juga mengkritik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan kerana berkongsi artikel yang didakwa menyindir hakim perbicaraan kes Mohd Nazlan Ghazali sebagai tidak berpengalaman.

"Walhal, umum mengetahui bahawa penghakiman YA Mohd Nazlan dalam kes itu dibuat dengan teliti dan tepat, serta disahkan oleh 3 orang hakim Mahkamah Rayuan dan 5 orang hakim Mahkamah Persekutuan," kata mereka.