Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengkritik tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membela Najib Razak sebagai iri hati.

Kata Razlan, kritikan itu jelas memperlihatkan wakil rakyat DAP itu tidak senang dengan cara Umno menunjukkan kebersamaan dalam membela bekas perdana menteri jika dibandingkan dengan pembangkang membela Presiden PKR, Anwar Ibrahim di jalanan.

"Cara Umno bukan berarak di jalanan dan mengganggu peniaga dan keselamatan negara.

"Cara Umno, kita berhimpun di Dewan Merdeka WTC untuk menunjukkan solidariti kita bersama Datuk Seri Najib," katanya kepada Malaysiakini.

Razlan berkata demikian sebagai respon balas kepada kenyataan Charles.

Charles hari ini berkata Zahid yang dilihat secara penuh emosi membela bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjara hanyalah percubaan untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Kenyataan Charles itu dibuat selepas Zahid menghimpunkan ahli Umno untuk menyokong petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan untuk Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Kata Charles, tindakan Zahid itu cuba mempermainkan rakyat yang tidak faham mengapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penerimaan bukti baru atau penangguhan dalam kes SRC International melibatkan Najib.

Mengulas lanjut, Razlan berkata Najib yang juga ahli parlimen Pekan sudah diadili lebih awal ketika Umno-BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu.

"Beliau juga telah di tahan di rumah, pergerakkan beliau dikawal oleh polis.

"Semua keputusan ini sudah ditetapkan oleh (Pengerusi Pejuang) Dr Mahathir Mohamad lebih awal.

"Perbicaraan hanyalah satu prosedur," dakwa Razlan.

Najib menjalani hukuman penjara sejak empat hari lalu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.