Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lantik AG orang PM': Kenyataan Azalina bukti Umno tak insaf - Radzi
Diterbitkan:  Aug 28, 2022 8:28 PM
Dikemaskini: 4:58 PM

Umno tidak pernah insaf meskipun pernah diuji dengan hilang sokongan pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu, kata Naib Presiden Bersatu Mohd Radzi Jidin.

Mohd Radzi (gambar, bawah) mendakwa ini terbukti apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Azalina Othman berkata pelantikan Peguam Negara (AG) adalah atas nasihat perdana menteri, maka dia harus melantik 'orang dia' untuk mudahkan segala urusan.

“Kalau nak kenal, itulah Umno. Kita ingatkan Umno sudah insaf bila kalah PRU-14 dan mendapat peluang (berubah), tapi itulah pendekatan (Umno).

“Itulah hakikatnya bahawa Umno nak tunjukkan apabila sudah jadi perdana menteri, ambillah kuasa ini dan 'tokaklah siapa yang nak tokak'. Itu pendekatannya.

“Ini cukup berbeza berbanding pentadbiran Tan Sri Muhyiddin di bawah Perikatan Nasional (PN) selama hampir dua tahun,” kata Radzi pada sidang media Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di PPD Hulu Langat, di Selangor, hari ini.

Azalina ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden di WTC semalam secara terbuka menyoal mengapa Ismail Sabri tidak memilih "orang dia" sebagai peguam negara.

"Jika kuasa menukarkan AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM.

"Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya bersambut sorakan kuat daripada para hadirin.

Peguam negara sekarang, Idrus Harun (gambar, atas) dipilih pada 2020 ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Untuk rekod, Azalina merupakan penasihat khas kepada perdana menteri dalam hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.

Umno semalam mengadakan Taklimat Khas Presiden, dua hari selepas bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Radzi berkata ucapan pemimpin Umno dalam majlis taklimat khas itu juga jelas berbeza dengan Konvensyen Perikatan Nasional yang diadakan pada hari sama.

“Di Konvensyen PN, kami bercakap mengenai integriti dan kesejahteraan rakyat tapi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mereka cakap mengapa perdana menteri tak tukar Peguam Negara.

“Mereka merendahkan keputusan mahkamah.

“Itu yang membezakan keutamaan kita, antara PN dan Barisan Nasional (BN), sebab itu Muhyiddin sebut semalam bawa beza PN dan BN bagai langit dan bumi,” kata Radzi lagi.

Lihat Komen
ADS