Perbicaraan kes pengarang Harakah , Zulkifli Sulong yang dituduh menerbitkan rencana berunsur hasutan sekali lagi ditunda pada bulan Mac depan.

Peguam bela pengarang itu, Zamani Ibrahim memberitahu, kes itu ditangguhkan kepada 19 dan 20 Mac setelah Timbalan Pendakwaraya, Abdul Rahman Redza tidak hadir dalam perbicaraan pagi tadi.

"Timbalan Pendakwaraya (Vong Poh Fah) memberitahu mahkamah, timbalan pendakwaraya (Abdul Rahman) cuti sakit," kata Zamani kepada malaysiakini .

Zamani turut dibantu oleh peguam bela Hasnan Hamzah.

Semalam, perbicaraan kes tersebut ditangguhkan apabila Abdul Rahman dilaporkan bercuti sakit dan dijadualkan bersambung 11 pagi ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Khadijah Idris kelihatan agak "marah" atas tindakan timbalan pendakwaraya itu kerana didakwa tidak menyerahkan surat cuti sakit kepada pihak mahkamah.

Tulisan itu dihasilkan daripada kenyataan asal berbahasa Inggeris yang dikatakan dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar.

Artikel bertajuk 'Liputan Pengakuan Salah Laku Sukma Hina dan Jahat: Dr Chandra' disiarkan pada halaman 40 dalam tabloid PAS itu edisi bertarikh 2 Ogos 1999 dan menyebut: "Adalah memalukan bahawa elemen di dalam pasukan polis, di Pejabat Peguam Negara, mahkamah dan media massa bersedia diperalatkan dalam konspirasi terbesar yang dirancang oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya".

Zulkifli dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan sekiranya bersalah, beliau tidak dibenarkan memegang jawatan yang sama dalam tempoh tersebut dan mahkamah boleh menggantungkan penerbitan Harakah selama setahun.