Enam bekas presiden Badan Peguam tampil menyatakan sokongan terhadap penyandang jawatan itu Karen Cheah yang dilanda kontroversi susulan kritikannya terhadap pasukan peguam Najib Razak.

Dalam kenyataan bersama hari ini mereka menyifatkan tindakan Cheah itu sebagai mempertahankan kebebasan badan kehakiman yang dilihat sedang diserang.

“Kami berdiri teguh bersama badan kehakiman dalam situasi yang tidak pernah berlaku ini, ketika ia berdepan serangan oleh individu-individu yang mahu menimbulkan ketakutan di kalangan hakim dan bagi melemahkan kebebasan mereka.

“Kami oleh itu berdiri teguh dengan Badan Peguam yang akan mempertahankan hakim-hakim yang berani mempertahankan sumpah jawatan mereka tanpa takut atau pilih kasih,” kata mereka.

Hisyam Teh

Enam bekas pemimpin Badan Peguam itu ialah Zainur Zakaria Kuthubul Zaman, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Steven Thiru dan George Varughese.

Sebelum itu, Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik menyifatkan kenyataan Cheah mengenai tindak tanduknya ketika rayuan akhir kes rasuah SRC International melibatkan Najib sebagai fitnah.

Dia membayangkan akan memfailkan saman sivil terhadap Cheah.

Semalam, peguam Zaid Ibrahim dan dua peguam lain turut menuntut permohonan maaf daripada Cheah.

Zaid Ibrahim

Pada 19 Ogos lalu, Badan Peguam mengeluarkan kenyataan media yang mengecam tindakan pasukan peguam Najib yang antaranya mahu menukar hakim di saat-saat akhir.

Cheah menyifatkan tindakan itu sebagai menyalahgunakan proses mahkamah dan mencemarkan nama baik sistem kehakiman, selain mereka harus berdepan tindakan tata tertib.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dan harus membayar denda RM210 juta.