Muda desak kementerian tolak gesaan Pemuda PAS larang konsert
Naib Presiden Muda Zaidel Baharuddin menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan menolak pandangan “populis melampau” daripada Pemuda PAS yang menggesa menghentikan konsert diadakan di Malaysia.
Zaidel berkata industri pelancongan dan pengurusan acara, yang merupakan antara yang paling teruk terjejas semasa pandemik Covid-19, tidak memerlukan tekanan sedemikian buat masa ini.
"Tatkala kedua industri ini baru hendak menarik nafas lega, kerajaan mesti dengan tegas dan jelas menolak pandangan jumud Pemuda PAS berkaitan perkara ini.
"Bukan itu sahaja wajar kerajaan membentangkan garis panduan yang konsisten serta pertahankan keputusan kebenaran penganjuran yang telah pun diluluskan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zaidel juga menyorot bahawa Arab Saudi yang mengamalkan sistem undang-undang syariah tidak menghalang penganjuran konsert.
"Alasan bahawa ini akan menimbulkan kelaknatan atau bakal membawa kerosakan akhlak adalah sesuatu yang mengarut.
"Sedangkan Arab Saudi, negara yang mengamalkan sistem undang-undang syariah juga membenarkan penganjuran konsert," katanya.
Mengakui bahawa budaya, moral dan adat resam negara ini harus diambil kira, Zaidel berkata ia tidaklah sehingga membenarkan "golongan ekstrim populous yang cetek" membelenggu atau mempengaruhi dasar kerajaan.
Katanya, iIndustri pelancongan dan penganjuran acara mewujudkan banyak peluang ekonomi dan pekerjaan, justeru kerajaan wajar menjadi pemudahcara sambil mengimbangi keperluan dalam menjaga adab dan akhlak masyarakat.
"Tetapkan garis panduan yang konsisten, pertahankan keputusan kelulusan dan nyatakan pendirian yang jelas.
"Kementerian pelancongan, khususnya YB Menteri wajar nyatakan pendirian kerajaan mengenai perkara ini," katanya.
Pemuda PAS sebelum ini mengecam penganjuran konsert di Malaysia, dengan ketua sayapnya Ahmad Fadhli Shaari berkata ia "mengundang kemurkaan Allah".
Kenyataannya itu dibuat sehari selepas penyanyi antarabangsa Billie Eilish mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tidak lama selepas itu, dia memberi amaran bahawa Pemuda PAS akan menggerakkan "protes seluruh negara" jika kerajaan terus memberi kebenaran untuk pelbagai konsert diadakan di negara ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/e705a4672df7ec467d2be1c795a89f79.jpg)
