Malaysiakini pertahan laporan lepas Umno ancam saman RM25 juta
Malaysiakini mempertahankan laporan berhubung hal ehwal dalaman Umno yang didakwa parti itu melalui surat tuntutan (LOD) sebagai berunsur fitnah.
Selain Malaysiakini, LOD itu turut dihantar kepada Astro Awani.
Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berkata pihaknya akan menjawab LOD berkenaan.
"Malaysiakini akan berdiri teguh menentang sebarang percubaan untuk menutup mulut atau menakut-nakutkan kami daripada memberikan berita dan pandangan yang penting kepada masyarakat Malaysia," katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya telah mengeluarkan surat yang menuntut penarikan balik, permohonan maaf bertulis dan pampasan RM25 juta sebagai ganti rugi daripada dua organisasi media itu.
Jumaat lalu Malaysiakini melaporkan mengenai percangghan dakwaan tentang apa yang berlaku pada mesyuarat biro politik Umno pada hari Rabu (24 Ogos), sehari selepas bekas perdana menteri Najib Razak gagal membatalkan sabitan dan hukuman penjara.
Laporan itu memetik sumber Umno dan kerajaan sebagai berkata bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikatakan didesak untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin atau disingkirkan daripada parti.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan.
Juga dalam laporan minggu lepas, Astro Awani menyiarkan laporan mengatakan majoriti pemimpin Umno bahagian menolak cadangan untuk menggesa Ismail Sabri campur tangan dalam kes rayuan SRC melibatkan Najib.
Asyraf dalam kenyataan di Facebook sebelum ini berkata Pemuda Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memfitnah Umno.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/01/8dc3498651439c02ad7503cb0d1fbc1b.jpg)
