Sidang DUN Johor yang diadakan sehari pada 22 Sept terlalu singkat untuk membahaskan isu penting, kata Adun Mengkibol dari DAP Chew Chong Sin.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia berkata kesemua 56 wakil rakyat negeri itu mesti diberi masa secukupnya untuk membahaskan perkara-perkara penting di Johor.

"Satu notis telah dikeluarkan oleh DUN bahawa persidangan akan datang akan diadakan pada 22 Sept untuk satu hari sahaja.

“Terdapat 56 Adun di Johor dan setiap seorang berhak mengemukakan maksimum 11 soalan.

“Ini bermakna hanya 10 soalan daripada 616 jumlah soalan terkumpul, boleh dibawa dalam sidang sehari,” katanya.

Sementara itu, dia menjangkakan laporan ketua audit akan dikemukakan kepada Adun dalam persidangan akan datang.

“Dengan pilihan raya negeri diadakan pada separuh pertama tahun ini, dewan undangan negeri hanya mengadakan sesi tujuh hari pada penghujung Jun, dan satu lagi sesi tujuh hari dijangka pada November tahun ini untuk membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2023.

“Justeru, jika sesi ini hanya sehari, maka pada tahun ini Dewan Undangan Negeri Johor hanya akan mengadakan 15 hari persidangan sepanjang tahun,” katanya