Menteri Luar Thailand, Nitya Pibulsonggram menafikan bahawa negaranya merancang untuk berbincang dengan puak pemisah Islam di wilayah selatan Thai dengan bantuan Malaysia sebagai orang tengah.

Katanya, kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah disalahpetik dalam laporan yang menyebut tawaran Malaysia untuk menjadi orang tengah antara kerajaan Thailand dengan puak pemisah Islam di wilayah selatan negara itu yang turut bersempadanan dengan Malaysia.

"Kita sedang menyemaknya dengan Kuala Lumpur. Kami percaya, Perdana Menteri Malaysia itu telah disalahpetik," kata Nitya.

"Tidak ada sebarang perancangan yang memerlukan perkhidmatan orang tengah," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, Thailand mengharga kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dalam usaha membawa keamanan di tiga wilayah di selatan Thailand.

Kelmarin, media Malaysia memetik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata Malaysia boleh menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan konflik di selatan Thai yang telah mengorban 1,900 orang sejak tiga tahun lalu.

Hubungan semakin baik

Menteri Pertahanan Thai, Boonrawd Somtas telah mengalu-alukan tawaran tersebut semalam dan berkata kementerian luar kedua negara akan membincangkan butiran lanjut mengenai cadangan tersebut.

Tetapi dalam satu kenyataan lewat semalam, Nitya berkata tidak ada sebarang rancangan seumpama itu.

Namun begitu, Menteri luar Thailand itu juga berkata, hubungan antara kedua negara semakin baik sejak kebelakangan ini, dan akan bekerjasama dalam bidang-bidang yang telah dipersetuju sewaktu lawatan Abdullah ke negara itu minggu ini.

Hubungan Malaysia dengan Thailand agak kurang baik sewaktu kerajaan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang menuduh Malaysia gagal menyekat anggota puak pemisah melarikan diri melalui sempadan ke negara ini.

Bagaimanapun, sejak Thaksin diguling pada September, Perdana Menteri baru, Surayud Chulanont telah memberi keutamaan dalam usaha memperbaiki hubungan dengan Malaysia dan menangai pergolakan di tiga wilayah di selatan Thai.

Sehingga ini, usaha tersebut, termasuk tawaran mengadakan rundingan dengan puak pisah, tidak mencapai banyak kemajuan manakala keganasan pula semakin meningkat dalam tempoh empat bulan yang lalu.