Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR PAS | Polemik isu jemputan dihulurkan PAS kepada Umno berterusan lagi. Kali ini pegawai khas menteri besar Kedah Zulkifli Yahaya tampil mempertahankan partinya.

Menurut Zulkifli, dia sendiri menyerahkan jemputan berkenaan supaya Umno menghantar wakilnya menghadiri perasmian muktamar yang berlangsung semalam.

Katanya jemputan kepada Umno Kedah dibuat melalui exco kerajaan negeri.

"Saya serah sendiri dengan tangan kad jemputan pada Dato' Suraya Yaakob di pejabatnya pada Selasa, 30 Ogos 2022," katanya sambil menyatakan Adun Sungai Tiang itu merupakan satu-satunya wakil Umno yang ada dalam barisan exco Kedah.

Menceritakan peristiwa itu Zulkifli menulis: "Dato' mai nuu (datang ya). Dato' (Suraya) cuma ghenyeh (tersengih) apa pun tak jawab," katanya di Facebook malam tadi.

Terdahulu isu jemputan ke muktamar itu menjadi perdebatan selepas Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom, menafikan pihaknya dihubungi dan dipelawa menghadiri muktamar yang akan berakhir hari ini.

Penafian itu dibuat selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendakwa partinya ada menjemput pimpinan utama Umno untuk hadir ke acara itu.

Bagaimanapun dia mengesahkan tiada seorang pun wakil daripada Umno hadir termasuk pimpinan dari Kedah.

Lihat Komen
ADS