Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang mengulangi kritikannya terhadap pembinaan plaza tol Sungai Nyior di laluan Seberang Perai-Butterworth yang dianggapnya tidak wajar dan tidak adil kepada pekerja dan penduduk yang melaluinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, pengguna laluan tersebut merupakan golongan berpendapatan sederhana dan bayaran tol tersebut akan membeban mereka.

Isnin lalu, Pakatan Anti-Kutipan Toll Sungai Nyior, yang dianggotai penduduk dan para peniaga, telah menyerahkan satu memorandum kepada Abdul Jalil, menggesa supaya kutipan tol itu dimansuhkan.

Katanya, beliau akan menyerahkan memorandum itu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon minggu depan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Zahrain Mohamad Hashim menyifatkan langkah mengenakan tol tersebut mulai 20 Februari ini sebagai 'tidak munasabah'.

"Nampaknya kerajaan mengenakan tol tersebut supaya syarikat-syarikat yang ada kaitan politik, dapat mengautkan keuntungan," dakwanya.

Amalan seluruh dunia

Setiausaha gerakan Selamatkan Diri Kita (SOS), BK Ong bersetuju bahawa adalah salah untuk kerajaan membenarkan kutipan tol dibuat di jalan yang dibina dengan tujuan untuk menangani masalah kesesakan lalulintas di kawasan bandar.

Katanya, Borr dibina untuk menyuraikan lalulintas di kawasan dalaman Butterworth, yang merangkumi zon perindustrian Prai, Bagan Luar, Bagan Dalam, Bagan Jermal and hub kediaman dan komersial Bagan Ajam.

Oleh itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab awam kerajaan untuk membina jalan lingkaran dalam kawasan bandar untuk menyuraikan lalulintas.

Katanya, mengikut amalan di seluruh dunia, kerajaan hanya mengenakan bayaran tol di lebuhraya jarak jauh dan bukannya laluan bandar.

Projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang bernilai RM410 juta, merangkumi pembinaan jalan baru dan jalan yang sedia ada. Jalan sepanjang 16km itu melalui Butterworth sepanjang jalan pantai untuk menyediakan jalan lingkaran luar antara Megamal Pinang, dekat Jambatan Pulau Pinang, dan Plaza Tol Sungai Dua di Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Mengikut perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan pusat dengan syarikat konsesi Borr, Lingkaran Luar Butterworth (Pg) Sdn Bhd (LLB) syarikat usahasama Rayston Consortium Sdn Bhd (70 peratus) and Etika Gemilang (30 peratus) Borr akan mempunyai tiga plazo tol di Taman Inderwasih, Prai; Pantai Bersih, Bagan Ajam dan Sungai Nyior.

Pengguna laluan tersebut akan dikenakan tol sebanyak 50 sen hingga RM3.90, bergantung kepada kelas kenderaan.

Kadar tol di plaza Sungai Nyior plaza ialah 90 sen (Kelas 1 & 5), RM1.80 (Kelas 2), RM2.70 (Kelas 3) dan 50 sen (Kelas 4). Tempoh kutipan tol adalah selama 30 tahun.

Plaza tol Sungai Nyior dibina di laluan sedia ada yang menghubungkan BKE dengan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Bagan Jermal, Butterworth.

Plus telah menaik taraf laluan BKE - NBCT sepanjang 5km, sebelum menyerahkannya kepada pemaju BKE. Kerajaan Pusat telah membelinya daripada BKE pada harga yang tidak diumumkan dan menjualkannya kepada LLB pada harga RM50 juta.

150,000 kenderaan

Satu tinjauan menunjukkan kira-kira 150,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut sewaktu waktu puncak dan lebih 500,000 pengguna akan terjejas dengan bayaran tol tersebut.

Mereka termasuk pekerja kilang, penumpang komuter dan feri yang tinggal di Butterworth, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Kulim, Lunas dan Sungai Petani.

Jurucakap Pemantau Pengangkutan Awam Pulau Pinang (Cepat), Dr Choong Sim Poey berkata, tindakan mengenakan tol di Borr adalah tidak munasabah memandangkan sistem pengangkutan awam yang tidak bermutu di negeri itu.

"Oleh kerana pihak berkuasa gagal menyediakan sistem pengangkutan awam yang berkesan dan termampu oleh orang ramai, maka rakyat terpaksa menggunakan kenderaan sendiri.

"Akibatnya berlaku kesesakan lalulintas dalam kawasan bandar, terutama sewaktu waktu puncak. Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membina jalan bandar, termasuk jalan lingkaran, untuk menyuraikan kesesakan tersebut.

"Oleh itu, adalah salah untuk mengenakan bayaran tol terhadap pemilik kenderaan sedangkan kesalahannya berpunca daripada dasar pengangkutan kerajaan yang tidak baik," kata Choong. Berita asal