mk-logo
Berita
‘Mungkin Allah nak angkat darjat ayahanda lebih tinggi’
Diterbitkan:  Sep 5, 2022 1:29 PM
Dikemaskini: 6:02 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Nizar melihat terdapat hikmah daripada hukuman penjara yang dikenakan terhadap ayahnya Najib Razak.

Dia melihat perkara itu mempunyai persamaan dengan  apa yang dilalui Nabi Yusuf dan tokoh anti-aparteid Nelson Mandela.

“Mungkin ini adalah cara Allah subhanahuwataala untuk angkat darjat ayahanda dengan lebih tinggi. Itulah yang berlaku kepada Nabi Yusuf yang dipenjarakan atas tuduhan palsu. 

“Apabila bebas baginda diangkat sebagai menteri berkuasa lagi bijaksana di Mesir. 

Najib bersama penyokong sebelum dimasukkan ke penjara pada 23 Ogos lalu

“Itu yang berlaku kepada Nelson Mandela yang menentang dasar aparteid apabila bebas beliau diangkat sebagai presiden Afrika Selatan yang berjaya menyatupadukan orang kulit putih dan bangsa Afrika. 

“Yang pasti tuhan tidak akan uji lebih dari kemampuan kita untuk hadapinya,” kata Nizar dalam acara setiakawan dengan Najib di kawasan parlimennya di Pekan, semalam.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah melibatkan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos turut mengekalkan denda RM210 juta kepada Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Petisyen untuk pengampunan diraja difailkan pada 2 September dan statusnya sebagai anggota parlimen Pekan bergantung pada keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Karier politik sudah terkubur?

Sementara itu, anak sulung Najib itu mengimbas kembali kekalahan BN pada Mei 2018 yang menyebabkan ayahnya tidak lagi menjadi perdana menteri.

“Ramai yang berpendapat karier politik ayahanda sudah habis terkubur. Dengan izin, dalam bahasa Inggeris, his career is politically finished, over

“Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali,” katanya yang sebelum ini dispekulasikan bakal menggantikan ayahnya sebagai calon BN Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Nizar menyifatkan tidak ramai orang boleh mengaharungi apa yang dilalui ayahnya.

“Tidak ramai yang boleh bangkit semula selepas diaibkan satu dunia. Satu dunia tuan-tuan, bukan satu Malaysia. Satu dunia. 

“Dengan tekanan yang bertubi-tubi di mahkamah, dengan tekanan daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), macam-macam tekanan yang dikenakan. 

“Kalau orang lain yang menghadapi situasi yang sama, barangkali boleh menjadi gila dan koma selama berbulan-bulan,” katanya.

Lihat Komen
ADS