Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PH dikelilingi perasuah' - Laporan polis dibuat terhadap Harakahdaily
Diterbitkan:  Sep 5, 2022 4:29 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis berkaitan tulisan di akhbar web PAS Harakahdaily pada 1 September lalu yang bertajuk “PH dikelilingi golongan ‘pemberi rasuah’”.

Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata laporan polis dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi tadi.

“Artikel tersebut ada menuduh Pakatan Harapan dikelilingi pemberi rasuah sepanjang tempoh pemerintahannya. 

“Ini ialah satu kenyataan berbaur fitnah jahat oleh seorang yang menggelarkan dirinya sebagai ulama suci,” kata Sheikh Umar.

Turut hadir pada pagi tadi ialah Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar dan Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Dalam kenyataannya Sheikh Umar banyak melancarkan kritikannya terhadap Hadi yang sebelum ini terpalit dakwaan mengaitkan golongan bukan Islam dengan amalan rasuah.

Bagaimanapun tulisan dalam Harakahdaily itu ditulis oleh anggota jawatankuasa kerja PAS Mohd Zuhdi Marsuki, yang menjelaskan dan mempertahankan kenyataan Hadi.

Zuhdi antaranya berkata umum mengetahui bahawa pemberi rasuah lazimnya adalah daripada kalangan “tauke” yang majoritinya adalah bukan Bumiputera. 

“Bagaimanapun, bukanlah bermaksud semua golongan kaya dan saudagar perniagaan terlibat, sebaliknya segelintir dari mereka yang melakukannya,” tulisnya.

Polis merekodkan kenyataan Hadi pada 29 Ogos bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia membuat kenyataan berbaur perkauman berhubung rasuah.

Siasatan dijalankan selepas 28 laporan polis dibuat terhadap Hadi.

Pada 20 Ogos, ahli parlimen Marang membuat hantaran di Facebook dan menyalahkan orang Melayu kerana tidak peduli terhadap undi mereka, menyebabkan bukan Melayu dan "liberal" menguasai kuasa politik negara pada pilihan raya umum lalu.

Hadi juga berkata untuk menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara menyeluruh supaya tidak menjadi wabak sehingga ke akar umbinya.

"Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

“Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera,” kata Hadi.

Hadi disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008 kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian komunikasi.

Lihat Komen
ADS