‘Serang Yang Dipertua sama seperti serang Badan Peguam’
Majlis Peguam menyatakan sokongan terhadap Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia Karen Cheah dan kenyataan akhbarnya pada 19 Ogos, yang kini menjadi subjek pertikaian undang-undang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata Majlis Peguam telah memutuskan demikian pada mesyuarat Sabtu lalu.
"Badan Peguam Malaysia sentiasa menyuarakan dan akan terus menyuarakan kebimbangannya berkenaan dengan perkara yang melibatkan kepentingan awam — pentadbiran keadilan, dan standard profesion undang-undang negara kita.
"Serangan terhadap Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia yang melaksanakan tanggungjawab yang dinyatakan adalah satu serangan ke atas Majlis Peguam, dan juga serangan ke atas Badan Peguam Malaysia,
"Badan Peguam Malaysia akan meneruskan tugas dan usahanya tanpa gentar atau berat sebelah dan tidak akan tunduk kepada sebarang intimidasi," katanya.
Pada 19 Ogos, Cheah (atas) mengeluarkan kenyataan akhbar bagi pihak Badan Peguam Malaysia mengkritik bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan peguamnya kerana didakwa menyalahgunakan proses kehakiman semasa pendengaran rayuannya di Mahkamah Persekutuan.
Peguam Najib kemudian mengadu selepas permohonan untuk penangguhan tidak dibenarkan oleh mahkamah.
Berikutan itu, seorang daripada peguam Najib, Zaid Ibrahim, menuntut permohonan maaf daripada Cheah dan memberi amaran bahawa dia akan disaman jika gagal mematuhinya.
Menurut Ezri, Badan Peguam Malaysia, melalui penasihat undang-undangnya, telah menjawab surat tuntutan Zaid.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/de2ccb92d752269342f6040f72b6fca0.jpg)
