Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik tiga individu termasuk bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.

Turut dilantik bekas peguam besar Sarawak Abdul Razak Tready dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz.

Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(1) (f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

"Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun mulai 4 Sept 2022 hingga 3 Sept 2024 bagi menggantikan Prasad Sandosham Abraham, Stephen Chung Hian Guan dan Profesor Madya Johan Shamsuddin Sabaruddin yang telah tamat perkhidmatan mereka pada 3 Sept lepas," katanya.

Selain itu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar dilantik semula sebagai anggota suruhanjaya tersebut bagi tempoh sama.

"Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan Prasad, Stephen Chung dan Johan Shamsuddin yang telah tamat perkhidmatan mereka pada 3 Sept lepas semasa tempoh mereka menjadi anggota suruhanjaya ini," menurut kenyataan itu.

- Bernama