Kerajaan digesa dedah perincian Program Visa Premium
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng meminta penjelasan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung Program Visa Premium (PVIP) yang dilancarkan baru-baru ini.
Antara lain, ahli parlimen DAP itu meminta butiran mengenai agensi kerajaan dan ejen yang bertanggungjawab bagi pendaftaran program itu.
“Perincian program ini tidak didedahkan kepada mana-mana saluran rasmi kerajaan.
"Bagaimanakah ejen dipilih untuk program ini, dan apakah kelayakan mereka? Adakah mereka (ejen) dibenarkan mengutip sebarang wang atau yuran daripada pemohon?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bahawa PVIP, yang ditawarkan kepada warga asing yang kaya untuk melabur di Malaysia dan menetap di negara ini untuk tempoh 20 tahun, telah mencapai kejayaan besar dengan 20,000 permohonan diterima daripada ejen pada hari pertama pelancarannya.
Program itu ditawarkan kepada taikun perniagaan dari semua negara kecuali Israel dan mereka yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Lim berkata Malaysia sudah mempunyai sejarah hitam dengan isu berkaitan pemprosesan visa dan imigresen.
"Ramai pegawai, termasuk seorang bekas timbalan perdana menteri, telah ditangkap kerana tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka dalam memproses visa," kata Lim, merujuk kepada Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi tuduhan rasuah berhubung pemberian sistem visa warga asing.
“Apakah jaminan bahawa proses ini (penglibatan ejen PVIP) tidak akan disalah urus seperti sebelum ini, terutamanya dalam soal kutipan wang?
"Juga perlu dijelaskan bagaimana PVIP lebih baik daripada program visa sedia ada, seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) yang melakukan perkara yang sama?" soal Lim.
"Setiap kali program baru dirangka, ia pasti akan memakan banyak kos, termasuk untuk memulakan jabatan baru dan melantik ejen baru," tambahnya.
Oleh itu, katanya, kerajaan harus telus dalam urusan berkaitan PVIP.
"Tanpa maklumat terperinci, bagaimana rakyat boleh membantu menarik pelabur asing? Program ini sepatutnya lebih terbuka dan tidak dikhaskan kepada ejen 'rahsia' tertentu," tegasnya.
/file/1341/1e9fbd297afcc677e12b27e703521528.jpeg)
