Status Najib Razak sebagai ahli parlimen Pekan kekal sehingga proses permohonan pengampunan diraja serta semakan kehakiman yang difailkannya selesai.

Perkara ini sekali lagi dijelaskan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dalam kenyataan hari ini.

"Mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul tersebut di atas (semakan kehakiman) yang difailkan, maka status Najib Razak sebagai ahli parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah.

"(Ia) akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan," kata Azhar.

Ini merupakan kali kedua Azhar menjelaskan perkara ini selepas Selasa lalu, apabila mengesahkan Najib telah memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Azhar memetik Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan jika petisyen pengampunan difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan ahli parlimen hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan diselesaikan.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Dia menjalani hukuman 12 tahun pada hari yang sama.