Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPN: Usaha jejak Jho Low masih giat dijalankan
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 8:24 AM
Dikemaskini: 12:24 AM

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengulangi komitmen polis untuk mengesan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dan membawanya ke muka pengadilan.

Dia menggesa pihak yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Jho Low untuk menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di +60132111222 (Whatsapp sahaja) atau balai polis berhampiran.

“Setiap maklumat yang diterima diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan pengesahan lanjut daripada negara ahli yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu dibuat selepas wartawan Tom Wright dan Bradley Hope menyorot dakwaan Jho Low dan keluarganya dilihat di luar negara pada 2018 dan 2019.

Acryl Sani berkata polis telah mengenakan 13 pertuduhan terhadap Jho Low tanpa kehadiran, dan telah mendapatkan notis merah Interpol terhadapnya pada 2018.

"Notis merah adalah kategori yang hanya boleh diakses oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ahli nterpol, memandangkan suspek berkenaan tidak memudaratkan keselamatan awam berdasarkan penilaian Interpol," katanya.

Selain itu, dia menegaskan bahawa pihak berkuasa Singapura dan AS juga telah memfailkan pertuduhan terhadap Jho Low, yang nama sebenarnya Low Taek Jho dan dikehendaki atas dakwaan peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Acryl Sani berkata 195 negara anggota Interpol mempunyai kewajipan untuk menyampaikan maklumat mengenai keberadaan orang dikehendaki yang mempunyai notis merah dikeluarkan terhadap mereka, untuk memudahkan proses ekstradisi.

Bagaimanapun, tiada permintaan ekstradisi boleh dibuat terhadap Jho Low kerana tiada ahli Interpol yang dapat mengesahkan lokasi Jho Low di negara mereka.

“Sehingga kini, usaha menjejak Jh Low masih giat dijalankan dan segala maklumat yang diterima mengenai keberadaan suspek tersebut di negara asing, telah dinilai kesahihannya oleh polis, termasuk melalui saluran kerjasama dengan pihak berkuasa di negara terbabit,” katanya.

Sebelum ini, bekas wartawan Wall Street Journal, Wright dan Hope mendakwa mereka telah menerima banyak maklumat yang menunjukkan bahawa Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara lain, mereka mendakwa Jho Low dilihat di Disneyland, Shanghai, pada 2019, dan isterinya Jesselynn Chuan Teik Ying memohon untuk menyertai Kelab Kapal Layar Diraja Hong Kong pada 2018.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.

Wright dan Hope kini menjalankan kempen awam dengan harapan untuk mengesan lokasi Jho Low berikutan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

Lihat Komen
ADS