Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM tetap komited bawa balik Jho Low - IGP
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 8:30 AM
Dikemaskini: 1:08 AM

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM tetap komited dalam usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan, Jho Low untuk dibawa ke muka pengadilan.

Sehubungan dengan itu, Acryl mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low supaya menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di +60132111222 (Whatsapp) atau balai polis berhampiran.

“Setiap maklumat yang diterima akan dinilai kesahihannya dan disalurkan kepada Interpol untuk mendapatkan pengesahan lanjut daripada negara anggota terbabit.

"PDRM kekal komited dalam memastikan Low Taek Jho ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu dibuat selepas wartawan Tom Wright dan Bradley Hope mendakwa Jho Low dan keluarganya dilihat berada di luar negara pada 2018 dan 2019.

Acryl Sani berkata pihak polis telah memfailkan sebanyak 13 pertuduhan terhadap Low walaupun tanpa kehadirannya (in absentia) dan telah memperolehi notis merah daripada Interpol terhadapnya pada 2018.

"Red notice tersebut adalah jenis kategori yang hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa negara ahli Interpol memandangkan suspek berkenaan tidak memudaratkan keselamatan awam berdasarkan penilaian pihak Interpol," katanya.

Selain itu, Acryl menegaskan bahawa pihak berkuasa Singapura dan AS juga telah menjalankan siasatan dan memfailkan pertuduhan terhadap Jho Low berhubung peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Katanya, sebanyak 195 negara anggota Interpol bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat bagi proses permohonan ekstradisi terhadap Jho Low.

Bagaimanapun katanya, setakat ini permohonan ekstradisi itu tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan Jho Low di negara mereka.

“Sehingga kini, usaha menjejaki Low Taek Jho masih giat dijalankan dan segala maklumat yang diterima mengenai keberadaan suspek tersebut di negara asing telah diteliti kesahihannya oleh PDRM termasuklah dengan menggunakan saluran kerjasama pihak berkuasa di negara-negara berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Wright dan Hope yang merupakan bekas wartawan Wall Street Journal, mendakwa mereka menerima banyak maklumat yang menunjukkan Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka antara lain mendakwa Low bergambar di Disneyland, Shanghai pada 2019, mankala isterinya Jesselynn Chuan Teik Ying memohon untuk menyertai Kelab Kapal Layar Diraja Hong Kong pada 2018.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan mereka secara bebas.

Kedua-dua mereka kini menjalankan kempen penyumberan orang ramai (crowdsourcing) untuk mengesan lokasi Jho Low berikutan pemenjaraan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Lihat Komen
ADS