Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afif mahu tanding parlimen Shah Alam, Permatang Pauh
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Selain bertanding di kerusi yang disandang, Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin sedia bertanding di Shah Alam atau Permatang Pauh sebagai calon parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Afif, 37, berkata, dia dilahirkan dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor dan aktif berpolitik di sana walaupun sudah dua penggal mewakili kawasan Seberang Jaya di Pulau Pinang.

"Memang saya sudah lama meletakkan niat untuk kembali ke Shah Alam, kerana tidak adil pada saya jika berkhidmat di Pulau Pinang, tetapi saya tidak datang menabur bakti di kampung halaman saya.

"Sebab itu apabila saya bersama Bersatu, saya terus daftar sebagai ahli Bersatu Shah Alam dan saya Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam,” katanya.

Pada 2013, Afif menjadi calon pertama merampas kerusi DUN Seberang Jaya daripada BN. Ia adalah sebahagian daripada kawasan parlimen Permatang Pauh - kubu kuat keluarga Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Afif berkata kepimpinan Bersatu telah dimaklumkan mengenai hasratnya untuk dibenarkan mempertahankan kerusi Seberang Jaya dan diletakkan sama ada di Shah Alam atau Permatang Pauh.

Afif mendakwa penyandang kerusi Shah Alam, Khalid Samad tidak mempunyai idea baru dan sepatutnya memberi laluan kepada muka baru.

"“Saya tahu beliau (Khalid) dah berapa penggal di situ, bahkan saya juga pernah me­ngundi beliau pun, tetapi saya nampak dia tak bawa idea baharu ke Shah Alam, saya lihat mungkin dengan adanya saya di situ kalau diamanahkan PN untuk bertanding, dipilih rak­yat di Shah Alam, saya nak lihat beberapa perkara termasuk sekolah yang terpinggir, kurang prestasinya.

“Mungkin sudah tiba masa menawarkan muka baharu di Shah Alam untuk bawa idea baharu,” jelasnya.

Selain itu, Afif juga menuduh Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tidak komited terhadap pengundinya.

"Di Permatang Pauh pula, majoriti Melayu yang berjaya, berpendidikan, saya tak nampak idea baru dibawa oleh Nurul Izzah. Bahkan ketika saya masih dalam PKR, sukar saya dapatkan komitmen beliau turun ke padang bersama masyarakat di Permatang Pauh, “ katanya.

Lihat Komen
ADS